Google
 

Monday, March 30, 2009

Pendidikan Sebagai Asas Merekayasa Umat

Penjajahan pemikiran dalam bentuk moden tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk menghadapi cabaran tersebut. Umat Islam memerlukan agenda bertindak yang tersusun agar dapat menangkis cabaran dan tohmahan yang cuba dilontar ke atas agama ini. Kata-kata masyhur yang sering dilafazkan oleh masyarakat harus direnungi iaitu kebenaran yang tidak tersusun akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun. Oleh yang demikian, beberapa langkah boleh diambil untuk merekayasa umat Islam dalam menghadapi cabaran di zaman global, di mana berlaku juga apa yang dikenali sebagai perang maklumat disebabkan oleh perkembangan teknologi pada era ‘langit terbuka’ kini.

Seharusnya umat Islam sedar bahawa cabaran yang mereka hadapi adalah real. Ia bukan sesuatu yang bersifat rekaan dan sebagainya. Cabaran ini adalah sebahagian dari kelansungan usaha yang dijalankan oleh golongan yang tidak suka kepada perkembangan Islam dan umatnya. Golongan sebegini wujud dan akan terus mencari jalan untuk memadamkan cahaya agama di atas muka bumi. Oleh yang demikian, agenda bertindak umat Islam perlulah didasari atas keinsafan terhadap firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tidak akan sesekali reda ke atas kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani selagi kamu tidak mengikut agama (cara hidup dan kehendak) mereka”

(Surah al-Baqarah: 120)

Perkara utama yang mesti diperbetulkan kembali ialah soal pendidikan kepada generasi muda, merangkumi golongan remaja dan belia. Yusuf al-Qaradawi dalam hal ini menegaskan bahawa aspek pendidikan ini sebenarnya merupakan perkara yang perlu diutamakan. Ia termasuk agenda penting Islam dan harus difahami sebagai awlawiyat dan tanggungjawab untuk dilangsaikan.[1] Pendidikan haruslah bermula dari awal. Penulis prolifik dan sarjana Muslim, Abdullah Nasih Ulwan melahirkan keprihatinan ini iaitu pendidikan mesti diberi kepada anak-anak mengikut petunjuk-petunjuk yang telah digariskan oleh agama. Pada pandangan beliau, kepentingan pendidikan kepada generasi akan datang itu bermula seawal seseorang berhasrat untuk memilih pasangan hidupnya. Ini dapat dilihat dengan penekanan beliau kepada soal perkahwinan dan pertaliannya dengan pendidikan seperti termaktub di dalam bukunya pada bab atau fasal yang paling utama.[2]

Meletak pendidikan sebagai perkara utama ini juga turut ditekankan oleh Mawdudi sehingga beliau menukilkan ‘tiada Islam tanpa ilmu pengetahuan.’ Pada pandangan beliau, Islam merangkumi dua perkara utama iaitu pertamanya ilmu dan keduanya ialah mengamalkan ilmu tersebut. Seseorang tidak akan dapat memahami keadaan sekelilingnya tanpa ilmu. Begitulah seterusnya beliau mengatakan betapa dapat dilihat dengan jelas mustahil untuk menjadi Muslim dan berterusan menjadi Muslim yang jahil. Dilahirkan sebagai Islam, mempunyai nama Islam, berpakaian cara Islam dan menggelarkan diri sebagai Muslim sebenarnya masih tidak cukup, kerana Muslim yang hakiki itu mereka mengetahui apa pendirian Islam dan mereka turut berpegang teguh kepada ajaran agama walau apa cabaran atau tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan umatnya. Kejahilan itu perlu diubat dengan ilmu dan cara mendapat ilmu tersebut adalah melalui pendidikan. “Knowledge, the first step”, nukil Mawdudi.[3]

Lihatlah betapa Islam mementingkan perkara ini dengan pengajaran daripada wahyu pertama yang diturunkan melalui kalimah suci Iqra’, membawa maksud supaya membaca, iaitulah penekanan terhadap kepentingan pendidikan demi untuk mendapat ilmu itu sendiri. Masyarakat yang berilmu inilah akan menjadi generasi tegar yang akan mempertahankan umat dari serangan-serangan pemikiran dan mereka akan sentiasa bersedia menghadapi aspek-aspek penjajahan pemikiran moden.

*Entry ini adalah petikan dari artikel tulisan saya bertajuk Penjajahan Pemikiran Moden, untuk dibentangkan di ILIM, Bangi, pada 31 Mac 2009.

[1] Yusuf al-Qaradawi (2005). Priorities of the Islamic Movement in the Coming Phase, UK: Awakening Publications.

[2] Abdullah Nasih Ulwan (2008). Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Vol. 1, Cet. ke-15, (terj.) Syed Ahmad Semait, Singapore: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

[3] Sayyid Abul A’la Mawdudi (1991). Let Us Be Muslims, (ed.) Khurram Murad, Kuala Lumpur: A S Noordeen.

Tuesday, March 24, 2009

Perhimpunan Agung UMNO Tumpuan Minggu Ini

Negara sedang tertumpu kepada perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlansung, dijangka tamat selepas 3 hari. Banyak yang mengikuti perkembangan perhimpunan ini kerana ia akan menyaksikan peralihan kepimpinan yang akan berlaku sekaligus mencorakkan masa depan negara oleh barisan pimpinan baru yang bakal menang jawatan. Mereka yang menang, ada harapan cerah untuk memenuhi barisan kabinet baru, dijangka selepas 7 April ini akan diumumkan.

Bukan sekadar peralihan kuasa atau pertandingan yang menarik perhatian, tetapi beberapa isu yang menyelubungi perhimpunan ini seperti isu rasuah beberapa pemimpin kanan parti melayu itu telah sedikit sebanyak menjejaskan persepsi terhadap mereka. Parti ini memerlukan anjakan baru bagi survival untuk terus dipilih rakyat pada PRU-13 nanti. Ada juga suara bimbang yang menyatakan parti ini mungkin kehilangan sokongan rakyat sekiranya pemimpin baru yang dipilih nanti daripada kalangan yang tidak mempunyai moral di mata rakyat. Setakat kaliber, mungkin semua calon mempunyai kaliber yang baik. Tetapi jika ditinjau dari sudut akhlak atau moral, pasti ada yang tidak menepati ciri tersebut. Ini yang akan membezakan antara satu sama lain di antara calon yang bertanding dan bakal dipilih. Sekiranya perwakilan memilih calon yang korup, mereka perlu berhadapan dengan realiti terutama apa yang bakal ditunjukkan pada PRU-13 kelak.

Bekas pemimpin tertinggi UMNO, Tun Mahathir kelihatan sangsi dengan apa yang berlaku kepada parti yang pernah beliau pimpin. Walaupun sudah tidak menjadi ahli parti ini, Tun terus melontarkan idea untuk memperbaiki amalan negatif yang ada. Pun begitu, beliau tiada upaya untuk memperbaiki kesalahan-kesalahan yang ada; beliau hanya boleh bersuara dari luar sahaja buat masa ini. Tanpa berselindung beliau berkata: "Apa yang berlaku dalam proses pemilihan kepimpinan tidak menjadi petanda yang baik. Parti UMNO sudah jadi parti perasuah. Samada ahli atau pemimpin, semuanya utamakan kepentingan diri."

Ini cabaran mereka. Mereka perlu bangkit memperbetulkan keadaan dan merubah persepsi negatif yang ada. Ia tidak dapat dilakukan tanpa panduan Quran dan Hadith...jika menolak panduan ini, perubahan tidak akan ke mana.

Wednesday, March 18, 2009

Maulidurrasul 4 bulan?

Saya diberitahu sambutan maulidurrasul di selatan tanahair disambut 4 bulan. Rakyat Johor menyambutnya dengan meriah. Marhaban, berzanji, Qasidah dan majlis-majlis zikir @ haul yang dianjurkan pelbagai pihak. Mereka memenuhi sambutan memperingati Rasulullah SAW dengan pelbagai acara dan program.

Begitu juga sambutan di Singapura, katanya serupa dengan Johor.

Semalam ada pertemuan pihak JAKIM dan NGOs Islam membincangkan proposal untuk mengadakan sambutan Maulidurrasul peringkat kebangsaan anjuran NGOs Islam. Ia mendapat reaksi positif. Sekiranya perancangan ini berjaya, ia akan dilaksana sekitar Mei / Jun. Tarikh cadangan ialah 2 Mei.

Pengisian sambutan lebih bercorak tradisi dengan menonjolkan para ulama'. Penyampai ucapan juga dikalangan ulama' yang kemungkinan didatangkan dari negara jiran dan negara Arab. Ia dirancang sebegini bagi mengiktiraf peranan para ulama' dan juga mewujudkan sedikit kelainan yang biasa di Malaysia.

Sambutan di negara-negara jiran turut dijadikan sandaran. Mereka ingin mewujudkan suasana rakyat datang berpakaian serba putih dan memenuhi stadium! Oleh sebab itu satu stadium di KL akan dipilih sebagai tempat sambutan ini. Rakyat akan dijemput dari pelbagai lapisan merentasi faham politik, merentasi negeri-negeri, merentasi kepelbagaian bangsa. Yang penting, mereka cintakan Rasul SAW sepanjang masa, bukan hanya pada bulan Rabiul Awal.

Sunday, March 15, 2009

Tahanan Rakyat Malaysia di Guantanamo Bay

Guantanamo Bay, satu nama yang cukup gerun didengar, lebih menggerunkan bagi mereka yang tidak bernasib baik terpaksa merengkuk di sana. Ia satu penjara tajaan US terletak di Cuba yang digunakan oleh US untuk memenjara sesiapa sahaja yang dianggap pengancam keselamatan.

Antara yang menjadi penghuni di sana sekarang adalah 2 orang rakyat Malaysia. Mereka ditahan dan diserahkan kepada pihak US atas alasan mereka ini menganggotai kumpulan pengancam. Saya tidak tahu sejauhmana maklumat itu samada tepat atau sebaliknya. Ini kerja pihak keselamatan kerana mereka mempunyai pelbagai fail sesiapa yang disyaki sebagai penjenayah.

Apa yang dunia rasa gusar ialah tentang arahan dari US untuk menangkap sesiapa sahaja yang disyaki, lalu di bawa ke tempat-tempat yang dirahsiakan untuk di 'torture', kemudian barulah mereka di hantar ke guantanamo bay. Ia menjadi penjara bagi mereka yang tidak dapat dibicarakan di mahkamah. Persoalan mengapa tidak mendakwa mereka itu, tidaklah dapat diketahui dengan tepat.

Perbuatan US menahan orang ke Guantanamo ini selalunya berkait dengan proses menangani teroris. Ramai yang tidak puas hati dengan pemahanan US dalam erti teroris, sehingga yang banyak menjadi mangsa semenjak Sep 11 ialah dikalangan Muslim. Sesiapa yang tidak bersama US dalam menangani teroris ala kefahaman Amerika, maka mereka itu penentang US.... "if you are not with us, you are against us" kata G W Bush ketika menghadapi serangan terhadap US Twin Tower.

Ramai pemerhati antarabangsa menyifatkan kenyataan Bush itu sebagai angkuh dan tidak menghormati negara-negara lain. Malah mereka tidak sedar bahawa apa yang berlaku adalah hasil polisi mereka terhadap negara umat Islam, terutama kegagalan mereka dalam membantu Palestin, disebabkan mereka lebih selesa dengan Yahudi. Sokongan mereka terhadap Yahudi telah merubah corak politik dunia sehingga umum mengetahui Islam dalam keadaan tertindas oleh polisi-polisi Amerika. Tidak kurang pula yang menyatakan serangan Sep 11 adalah perancangan rapi zionis untuk terus mendapat simpati barat terhadap Israel.

Ramai yang menentang Amerika ini dengan cara tersendiri, lalu mereka disumbat ke Guantanamo kerana menjejaskan keselamatan dunia. Termasuk di dalam senarai itu ialah 2 orang rakyat Malaysia yang ditahan di sana. Mereka ialah Mohd Farik Amin atau Zaid (Zubair) and Mohammed Nazir Lep atau Bashir Lep (Lillie). Dikatakan mereka ini terlibat dengan jaringan JI yang menyokong al-Qaeda. Sekali lagi saya tidak mengetahui secara tepat apa kesalahan mereka kerana tidak pernah dibicarakan di mahkamah terbuka.

Jika dilihat, seolah negara Malaysia terpaksa menerima tamparan dari sudut kedaulatan di mana US boleh mengarahkan negara ini untuk menyerahkan sesiapa sahaja kepada mereka.
Sepatutnya urusan keselamatan rakyat dalam negara ini adalah tanggungjawab negara, bukan pihak luar... pihak luar tak perlu campurtangan kerana pihak keselamatan Malaysia juga mempunyai rangkaian maklumat yang lebar.

Adalah baik jika perkara ini dapat diselesaikan dan tahanan rakyat Malaysia di Guantanamo tersebut di bawa pulang, dan jika perlu biarlah mereka menjalani hukuman di tanahair, bukan di US mahupun Guantanamo.... biarlah tuduhan ke atas mereka adalah tuduhan yang bertanggungjawab berdasarkan maklumat-maklumat yang tepat, bukan sebaliknya.

Ya, keselamatan itu penting dan memerlukan kepada pencegahan sebelum keadaan menjadi tidak selamat ... Safety First.. tetapi yang penting juga ialah kita tidak bertindak berasaskan rumours apatah lagi kerana tekanan kuasa asing.

Saturday, March 07, 2009

Cabaran Baru Akademik

Setiap pekerjaan ada cabaran tersendiri. Orang yang tidak ada kerja juga ada cabaran yang mereka perlu tempuhi. Begitulah dengan bidang yang saya pilih ini - bidang akademik. Suatu masa dahulu saya fikir bidang ini tidak terlalu susah kerana melihat ramai para pensyarah sebelum ini kelihatan mempunyai masa yang terluang.

Setahun saya berada di universiti sebagai pensyarah, berlaku pertukaran Naib Canselor. Sebelum pertukaran berlaku, para pensyarah sudah merasai hangat keperluan untuk mencapai KPI, yang dirangka untuk mencapai status universiti setanding dengan universiti terkemuka dunia seperti Harvard, Oxford, Cambridge dll. Paling tidak universiti ini berada dalam kelompok setaraf dengan Universiti Singapura, iaitu ke 50 terbaik dunia.

Antara KPI yang perlu dicapai di bawah kepimpinan NC baru ialah penerbitan dalam jurnal ISI. Ini yang menjadi kegusaran ramai ahli akademik untuk mencapainya. Ia memerlukan pensyarah untuk menulis dan menghantar karya untuk diterbitkan dalam jurnal. Ia nampak simple, tetapi untuk melakukannya memerlukan masa dan tenaga dalam menghasilkan penulisan. Kebanyakan jurnal ISI pula memerlukan artikel Bahasa Inggeris.

Bagi sesetengah pensyarah, untuk menerbitkan artikel mereka dalam jurnal tempatan pun satu cabaran, apatah lagi kali ini untuk menerbitkannya di dalam bahasa asing. Tidak senang walau nampak simple.

Baiknya, universiti menyediakan satu unit khas untuk tujuan penerbitan dalam jurnal ISI ini. Artikel para pensyarah akan dinilai dan jika perlu ditambahbaik agar memenuhi kriteria ISI tersebut. Sekali lagi, ia nampak simple tapi tidak mudah. Pengalaman yang dihadapi, sudah hampir 4 minggu artikel dihantar tetapi masih belum mendapat jawab balas. Cabaran buat satu unit baru untuk membantu universiti. Biar apapun, mereka yang berada di unit ini pasti merasa tekanan kerana mereka seakan menjadi faktor kejayaan sesuatu artikel diterima oleh mana-mana jurnal ISI.

Tuntutan baru ini perlu dihadapi oleh para pensyarah senior mahupun yang baru nak mengenal dunia akademik seperti saya ini. Nampaknya bidang akademik zaman moden ini tidak punya banyak masa untuk dihabiskan tanpa tujuan...bersediakah saya menghadapi anjakan ini? persoalan ini yang sering bermain difikiran...jika ini jalan yang dipilih, tentulah ia perlu diharungi...yang penting ikhlas niat... bagi mengubat keresahan, ingatan ganjaran dari Allah swt untuk mereka yang tabah dan sabar menjadi peransang dan juga 'pil penenang' untuk diri sendiri.

Friday, March 06, 2009

Di Ambang Maulidurrasul 1430H

Umat Islam di Malaysia akan bercuti pada 9 Mac, hari maulidurrasul. Kemungkinan, hanya negara ini sahaja yang menjadikan maulid sebagai hari cuti umum. Negara-negara Islam lain saya tidak pasti. Kalau cuti, bagus la.

Mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW tidak harus dilihat sekadar upacara tahunan, upacara keramaian atau semata-mata memenuhi kalendar sahaja. Nabi Muhammad SAW lebih daripada sekadar menyambut kelahirannya. Umat Islam dituntut memahami perjuangan baginda dalam menyebarkan risalah Islam dan menegakkan syiar agama di mana sahaja baginda berada.

Ketika di Mekah, walau di kelilingi aparat musyrikin, baginda tetap menyebarkan risalah. Memang sulit, ketika baginda di boikot oleh masyarakat awam, ditindas, dinafikan hak dan sebagainya. Membaca sirah baginda, menghidupkan kembali semangat mengembangkan risalah itu. Lalu tidak hairanlah ramai para ulama yang menganggap bahawa setiap Muslim itu sepatutnya menjadi da'ie iaitu orang yang menyampaikan dakwah Islam.

'Kita pendakwah, bukan penghukum' menjadi tajuk sebuah buku yang sangat relevan berkaitan dakwah.

Rata-rata pendakwah, apabila berceramah atau memberi kuliah, tidak dapat lari dari aspek-aspek hukum hakam yang menjadi persoalan para pendengar yang tidak tahu. Menghadapi suasana sebegini, pendekatan da'ie sepatutnya menjadi awlawiyat, bukan terus menghukum. Berhati-hati dalam soal ini, akan memberi kelebihan kepada para da'ie dan juga boleh menjaga agama dari dipandang serong oleh masyarakat.

Sebagai contoh, ada dikalangan umat Islam yang mempersoalkan tentang hukum menyambut maulid itu sendiri... lalu, dikalangan ilmuan yang ultra, akan terus memberi hukum bid'ah - haram atas alasan ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi, para sahabat mahupun tabi'ein. Bagi ilmuan yang lebih melihat kepada hikmah, mereka membenarkan bagi tujuan memperingati kekasih Allah, menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang kepadanya; juga berdasarkan beberapa pandangan ulama silan seumpama al-Nawawi.

Perkara ini menjadi perbahasan dikalangan umat. Biarlah mereka menyambutnya, demi keizzahan Islam dan kecintaan kepada Rasulullah itu sendiri.

Kepada semua: Selamat menyambut Maulidurrasul 1430.

Monday, March 02, 2009

You need a break

Hujung tahun lepas ada teman-teman bagitau supaya take a break ... ambil cuti. saya tak hiraukan sebab kerja tak berapa memerlukan cuti. lagipun, saya ada ambil cuti panjang sikit pada bulan jun.. jadi saya fikir utk beri peluang org lain la menikmati cuti bersama keluarga..mereka lebih perlukan, sebab anak-anak mereka jenis yg bersekolah...cuti sekolah mesti di manfaatkan. saya mujur anak masih belum sekolah. bila dia sekolah nanti, saya rasa cuti kena ambil mengikut cuti sekolah..kalau tak,kesian anak-anak tak keluar ke mana time cuti.

bersambung....

Sunday, March 01, 2009

Kalimah Allah - KDN buat silap; kena U-Turn

Saya terkejut bila membaca berita yang muncul dalam yahoo 'Malaysia ease the use of .....' membuatkan saya ingin terus membaca apa yang dilaporkan. Ternyata, dalam laporan tersebut menyatakan KDN telah mewartakan pada 16 Februari 2009 'kebenaran' bersyarat kepada akhbar The Herald dan penerbitan lain Kristian untuk guna kalimah Allah. Saya bincang perkara ini selepas maghrib di Masjid Sg Penchala, sampai masuk waktu Isya', Jumaat lepas (27 Feb). Saya bimbang masyarakat terkeliru mengenai agama, lalu nanti mereka kata 'apa salahnya saya masuk kristian sebab tuhan mereka sama saja iaitu Allah'... apa kita nak jawab?

Warta dari KDN sebut: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan "Khusus Untuk Penganut Agama Kristian". Syarat tambahan ialah label tersebut - bersaiz 16 jenis fon Arial berhuruf tebal - hendaklah dipaparkan di muka depan penerbitan Kristian seperti arahan KDN menurut Seksyen 22(1)(c) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Surat khabar utusan hari ini (1 Mac 09) memaparkan dimuka depan bahawa warta itu ditarik balik. Mereka mengaku tersilap. Baguslah. Mereka buat U-Turn. Walaupun ia sebenarnya memperlihatkan warta itu dikeluarkan dengan cara paling tidak cermat, sehingga memalukan KDN, malah turut memalukan kerajaan Malaysia umumnya.

Ketika saya meneliti beberapa catatan akhbar, pendirian Menteri di JPM -YB DS Zahid- jelas menunjukkan beliau mempertahankan supaya perkataan Allah ini diguna khusus oleh org Islam sahaja dalam penerbitan. Perkara ini juga beliau tekankan ketika majlis perasmian seminar Takhrij Hadith pada 26 Feb 09 di Masjid Wilayah.

Apabila saya melihat berita pada Jumaat lalu membenarkan penggunaan kalimah ini kepada Kristian, saya terkeliru....apakah ada problem di KDN sehingga isu sensitif umat Islam ini tidak ditangani dengan betul.....

Hari ini saya rasa ramai yang lega apabila pendirian kerajaan diperjelaskan..... tetapi perkara ini sekarang sedang berada dibawa ke mahkamah untuk semakan kehakiman.... kita perlu berdoa supaya keputusannya nanti tidak akan membenarkan bagi mengelak berlaku kekeliruan... eloklah bagi Kristian untuk guna kalimah mereka i.e Jesus Christ, Merry the Virgin dan Holy Spirit itu...senang, org Islam tak keliru, orang Kristian pun tak keliru.