Google
 

Friday, March 06, 2009

Di Ambang Maulidurrasul 1430H

Umat Islam di Malaysia akan bercuti pada 9 Mac, hari maulidurrasul. Kemungkinan, hanya negara ini sahaja yang menjadikan maulid sebagai hari cuti umum. Negara-negara Islam lain saya tidak pasti. Kalau cuti, bagus la.

Mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW tidak harus dilihat sekadar upacara tahunan, upacara keramaian atau semata-mata memenuhi kalendar sahaja. Nabi Muhammad SAW lebih daripada sekadar menyambut kelahirannya. Umat Islam dituntut memahami perjuangan baginda dalam menyebarkan risalah Islam dan menegakkan syiar agama di mana sahaja baginda berada.

Ketika di Mekah, walau di kelilingi aparat musyrikin, baginda tetap menyebarkan risalah. Memang sulit, ketika baginda di boikot oleh masyarakat awam, ditindas, dinafikan hak dan sebagainya. Membaca sirah baginda, menghidupkan kembali semangat mengembangkan risalah itu. Lalu tidak hairanlah ramai para ulama yang menganggap bahawa setiap Muslim itu sepatutnya menjadi da'ie iaitu orang yang menyampaikan dakwah Islam.

'Kita pendakwah, bukan penghukum' menjadi tajuk sebuah buku yang sangat relevan berkaitan dakwah.

Rata-rata pendakwah, apabila berceramah atau memberi kuliah, tidak dapat lari dari aspek-aspek hukum hakam yang menjadi persoalan para pendengar yang tidak tahu. Menghadapi suasana sebegini, pendekatan da'ie sepatutnya menjadi awlawiyat, bukan terus menghukum. Berhati-hati dalam soal ini, akan memberi kelebihan kepada para da'ie dan juga boleh menjaga agama dari dipandang serong oleh masyarakat.

Sebagai contoh, ada dikalangan umat Islam yang mempersoalkan tentang hukum menyambut maulid itu sendiri... lalu, dikalangan ilmuan yang ultra, akan terus memberi hukum bid'ah - haram atas alasan ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi, para sahabat mahupun tabi'ein. Bagi ilmuan yang lebih melihat kepada hikmah, mereka membenarkan bagi tujuan memperingati kekasih Allah, menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang kepadanya; juga berdasarkan beberapa pandangan ulama silan seumpama al-Nawawi.

Perkara ini menjadi perbahasan dikalangan umat. Biarlah mereka menyambutnya, demi keizzahan Islam dan kecintaan kepada Rasulullah itu sendiri.

Kepada semua: Selamat menyambut Maulidurrasul 1430.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home