Google
 

Sunday, January 01, 2012

Penapisan Filem Perlu Tindakan Menyeluruh

Baru-baru ini kita dikhabarkan bahawa agensi kerajaan yang bertanggungjawab menapis filem, LPF, tidak akan lagi menapis filem-filem yang akan ditayang di Malaysia. Ia dibuat untuk menggalakkan pertumbuhan filem dalam era liberalisasi ekonomi yang sedang berlaku.

Industri perfileman memang suatu cabang industri yang boleh membawa keuntungan yang tinggi. Jika tidak, pastilah Hollywood yang terkenal dengan pusat pembikinan filem box-office dunia itu tidak akan memberi tumpuan kepada perfileman lagi. Satu-satu filem yang dikeluarkan dengan sentuhan hebat Hollywood ini boleh membawa keuntungan puluhan juta malah ada yang mencecah ratusan juta seperti Harry Potter, Toy Story dan sebagainya.

Bahkan di Negara kita juga filem yang dihasilkan boleh memberi keuntungan kepada penerbit. Filem seperti Ombak Rindu dan lain-lain telah berjaya mengumpul kutipan melebihi tujuh angka hanya dalam tempoh seminggu ia ditayangkan.

Ini menunjukkan bahawa industri perfileman sedang bergerak ke arah masa depan yang cerah dengan mengambil kira plot cerita yang dibawa.

Bagi menggalakkan pertumbuhan perfileman ini, maka sekatan tapisan tidak lagi mahu dibuat oleh agensi kerajaan. Mereka sudah membuat garis panduan untuk dipatuhi dan tanggungjawab menapis diletakkan dibahu penerbit dan pengimport.

Wajarkah perkara ini diserahkan bulat-bulat kepada penerbit dan pengimport? Apakah pihak kerajaan ditekan oleh penerbit antarabangsa Hollywood dalam hal ini? Adakah filem-filem antarabangsa akan memboikot Malaysia sekiranya kerajaan melakukan tapisan?

Banyak lagi persoalan lain yang jika disenaraikan boleh berjela panjangnya… namun cukup kita memberi fokus kepada kewajaran memberikan tanggungjawab penapisan kepada penerbit dan juga pengimport filem.

Dalam situasi filem yagn diterbitkan oleh penerbit tempatan, sudah banyak filem yang dilihat walaupun sudah melalui proses penapisan, tetapi masih terlepas adegan dan babak-babak yang tidak sesuai untuk ditonton oleh masyarakat timur. Kita masyarakat timur penuh dengan adat dan budaya yang begitu ketara bezanya dengan pendekatan barat.

Barat menganjurkan liberalisasi, semuanya ingin bebas. Tetapi tidak semua yang bebas itu baik untuk masyarakat timur. Bukanlah maksudnya masyarakat timur ini tertutup mindanya, tetapi dalam hal ini biarlah liberalisasi itu mempunyai batasan yang jelas.
Barat membawa idea bahawa semua individu mempunyai hak masing-masing dan hak itu mesti diberi walau apapun yang ingin dilakukan oleh individu tersebut. Tetapi mereka juga akur bahawa kebebasan itu ada batasnya. Jika kebebasan diberi sepenuhnya, maka pihak berkuasa mereka tiada hak untuk menahan orang yang melanggar lampu isyarat merah umpamanya.

Masyarakat timur ini terutama masyarakat yang beragama, tidak kira apa agamanya, pasti mempunyai adat budaya yang tidak selesa dengan liberalisasi penuh yang cuba diperjuang barat ini.

Kembali dalam kontek perfileman tempatan, telah banyak kes adegan yang terlepas. Ini adalah kerja penerbit untuk membuat adegan tertentu dengan tujuan melariskan filem mereka. Jika tiada adegan ‘panas’, filem itu akan dianggap hambar. Jika tiada adegan kepercayaan karut-marut seperti ‘hantu bonceng’, filem itu tidak akan mendapat sambutan. Ini mentaliti yang ada, jika kita berada di dalam kasut mereka pun pasti fikiran tentang bisnes akan diutamakan daripada garis panduan yang ada.

Kemudian, siapa yang bertanggungjawab untuk menafsirkan garis panduan tersebut? Bagaimana sekiranya setiap penerbit mempunyai penafsiran berbeza?

Mereka yang akan menjadi mangsa adalah masyarakat awam. Rakyat akan terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai ditonton, bahkan rakyat pula tiada kuasa untuk mengambil tindakan.

Kuasa yang ada pada rakyat dan penonton hanyalah boleh untuk mengalih ‘channel’ atau untuk ‘switch off’ television atau tidak menonton filem-filem tersebut. Ini tidak cukup kerana ia akan menjadikan penyebaran filem yang mempunyai ‘agenda’ tertentu akan berleluasa.

Lebih parah ia akan mencorak pemikiran dikalangan masyarakat terutama golongan kanak-kanak, remaja dan belia. Jika mereka diterapkan dengan perkara-perkara yang tidak sesuai, maka kesannya adalah kepada pembangunan negara pada masa hadapan.


Alasan untuk memberi kebebasan kreatif berkarya untuk penerbit filem juga sebenarnya tidak boleh dijadikan sandaran. Jika benar ingin memberi kebebasan kretiviti, kenapa pula ada garis panduan? Hilangkan sahaja garis panduan tersebut sekiranya ingin memberikan kebebasan. Tetapi nampaknya masih ada dalam fikiran agensi ini bahawa mereka tidak boleh memberikan kebebasan penuh.

Oleh itu, adalah wajar bagi agensi yang bertanggungjawab untuk menapis filem sebelum ia dibenar di tayangkan di Malaysia. Jika agensi tersebut tidak mampu, jemputlah badan-badan lain, NGO, badan sukarela dan pakar-pakar untuk membantu.

Kerjasama ini pasti akan membawa kepada kesejahteraan Negara dalam melahirkan modal insan kental jiwanya dan tidak terpengaruh dengan budaya sonsang yang dibawa oleh penerbitan filem yang tidak bermoral.

Sekian.

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home