Google
 

Thursday, January 19, 2012

Garis Wasatiyyah: Media Perlu Jauhi Fitnah

Wasatiyyah adalah satu gagasan yang sangat baik untuk ditonjolkan sebagai salah satu aspek kefahaman umat Islam bagi mengelak sikap ‘ghuluw’ atau ekstrem dalam kehidupan mereka. Pemahaman ‘ghuluw’ ini boleh membawa kepada terrorisme yang merbahaya. Sudah sampai masanya, seperti kata Perdana Menteri, untuk umat Islam mengatakan TIDAK kepada kegiatan-kegiatan yang berbentuk melampau.

Dalam hal ini, media memainkan peranan yang penting. Setiap hari media akan berkomunikasi dengan masyarakat, sama ada melalui medium elektronik atau bercetak. Pastinya apabila media menjadi medan penyebaran maklumat, ia mesti dilihat relevan dan tidak bersikap ‘ghuluw’ dalam laporan.

Media juga tidak boleh hanya mementingkan keuntungan, mencari dan melapor berita sensasi walaupun tidak dapat disahkan hanya kerana ingin meningkatkan jualan atau ingin menjatuhkan seseorang.

Pastinya kita tidak mahu media yang ada menjadi seperti News of the World, yang melanggar pelbagai etika, melaporkan perkara yang tidak dipastikan benar atau dalam bahasa lebih mudah untuk difahami adalah menyebarkan fitnah. Akhbar milik veteran konglomerat media, Rupert Murdoch ini akhirnya terpaksa ditutup atas reputasinya yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Penyebaran berita fitnah, membunuh karakter individu dan mengutamakan sensasi adalah sebahagian amalan bagi kebanyakkan media di Malaysia. Akhir-akhir ini kita dapati perkara tersebut terus berlaku. Seseorang yang bercakap lain, tetapi lain pula yang dilaporkan.

Media yang mirip kepada kerajaan, akan melihat segala sumbangan pembangkang adalah negatif dan tidak betul. Begitu juga sebaliknya, media pembangkang akan sedaya upaya menunjukkan aktiviti kerajaan juga tidak betul.

Etika media mesti dijaga dengan memastikan sesuatu laporan itu mestilah berasaskan fakta. Media perlu mengelak dari menjadi ejen fitnah.

Elakkan fitnah kerana ia lebih dahsyat daripada membunuh. Hukuman pemfitnah ini juga perlu dihukum dengan hukuman berat.

Dalam usaha kerajaan ingin menunjukkan kebaikan, melaksana agenda transformasi, melakukan sesuatu yang memberi impak besar, ianya seakan dicemari oleh media yang terus-menerus menjadi agen pembunuh karakter.

Kita perlu ingatkan media… Jangan salahkan orang yang belum didapati bersalah oleh mahkamah. Jangan salahkan mereka yang didapati tidak bersalah oleh mahkamah. Jangan biarkan tuduhan tidak berasas tanpa bukti dilemparkan kepada sesiapa termasuk pemimpin negara. Jangan melaporkan sesuatu yang tidak dicakap dengan laporan menuduh dia bercakap.

Penyebaran berita tidak tepat dan fitnah sangat kontradik dengan usaha kerajaan yang ingin melihat masyarakat Malaysia berfikir terbuka selaras dengan pemikiran masyarakat negara maju, kerana kita sedang bergerak ke arah negara maju pada tahun 2020.

Membaca, mendengar dan menonton berita-berita fitnah sebenarnya menyebabkan rakyat tiada pilihan selain dari terus skeptikal (ragu) dengan usaha baik serta agenda transformasi yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.

Media juga nampaknya perlu melakukan transformasi dalam era kehendak kepada liberalisasi ini agar turut memberi berita yang seimbang kepada masyarakat.

Umumnya, cara media arus perdana kita melaporkan berita-berita sebegini akhirnya nanti akan menyebabkan rakyat mencemuh kerajaan, seterusnya merugikan dari aspek survival politik. Ia pasti akan memberi kesan negatif kerana akan dilihat sebagai pengampu daripada pemberi maklumat nyata yang sebenar.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka merasakan agensi-agensi media terus menerus melakukan fitnah. Cara penyebaran berita sebegini akhirnya akan menjejaskan imej baik kerajaan.
Inilah yang menyebabkan ramai yang menoleh kepada media-media alternatif. Walaupun media-media alternatif ini juga tidak terlepas daripada penyebaran fitnah, tetapi atas kegagalan media arus perdana memainkan peranan melaporkan berita berimbang, mereka seakan tiada pilihan.

Rakyat yang sekarang berfikiran terbuka tidak lagi suka dimomokkan dengan sesuatu yang diluar dari batasan dan bercanggah dengan rasional pemikiran seorang insan yang diberikan akal yang waras.
Mereka suka melihat amalan yang dibuat di negara-negara maju, sama ada di timur mahupun di barat.

Mereka tidak lagi mahu melihat contoh dari negara-negara yang ditadbir secara diktator. Tambahan pula negara diktator semakin hari semakin tidak mendapat tempat seperti yang berlaku di negara-negara Arab.

Hatta di Indonesia yang menjadi jiran kita, kebebasan media itu lebih daripada Malaysia. Sedangkan apalah sangat Indonesia jika hendak dibandingkan dengan kemajuan yang kita capai di Malaysia ini.

Oleh itu, mana-mana media yang masih memainkan lagu lama, tidak lagi dianggap relevan pada zaman kini. Malah ia akan terus dilihat sebagai agen pengampu serta tidak mampu menjadi agensi media yang bertaraf antarabangsa. Malah ia tidak mampu memberi imej yang baik kepada kerajaan dan negara.

Akhirnya, kerajaan perlu melakukan sesuatu yang berani untuk mewujudkan persepsi yang baik terhadap media arus perdana. Jika tidak cukup dengan tranformasi, maka revolusi keseluruhan sistem media boleh dipertimbangkan.

Amat baik sekiranya ia dapat dijadikan sebagai agenda transformasi negara (GTP) sebagai salah satu daripada NKRA agar imej yang lebih sihat dapat ditonjolkan. Jika transformasi media ini dapat dilakukan, pasti ia akan memberikan impak yang sangat besar kepada rakyat dan negara.

Labels: , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home