Google
 

Monday, March 30, 2009

Pendidikan Sebagai Asas Merekayasa Umat

Penjajahan pemikiran dalam bentuk moden tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk menghadapi cabaran tersebut. Umat Islam memerlukan agenda bertindak yang tersusun agar dapat menangkis cabaran dan tohmahan yang cuba dilontar ke atas agama ini. Kata-kata masyhur yang sering dilafazkan oleh masyarakat harus direnungi iaitu kebenaran yang tidak tersusun akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun. Oleh yang demikian, beberapa langkah boleh diambil untuk merekayasa umat Islam dalam menghadapi cabaran di zaman global, di mana berlaku juga apa yang dikenali sebagai perang maklumat disebabkan oleh perkembangan teknologi pada era ‘langit terbuka’ kini.

Seharusnya umat Islam sedar bahawa cabaran yang mereka hadapi adalah real. Ia bukan sesuatu yang bersifat rekaan dan sebagainya. Cabaran ini adalah sebahagian dari kelansungan usaha yang dijalankan oleh golongan yang tidak suka kepada perkembangan Islam dan umatnya. Golongan sebegini wujud dan akan terus mencari jalan untuk memadamkan cahaya agama di atas muka bumi. Oleh yang demikian, agenda bertindak umat Islam perlulah didasari atas keinsafan terhadap firman Allah SWT yang bermaksud:

“Tidak akan sesekali reda ke atas kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani selagi kamu tidak mengikut agama (cara hidup dan kehendak) mereka”

(Surah al-Baqarah: 120)

Perkara utama yang mesti diperbetulkan kembali ialah soal pendidikan kepada generasi muda, merangkumi golongan remaja dan belia. Yusuf al-Qaradawi dalam hal ini menegaskan bahawa aspek pendidikan ini sebenarnya merupakan perkara yang perlu diutamakan. Ia termasuk agenda penting Islam dan harus difahami sebagai awlawiyat dan tanggungjawab untuk dilangsaikan.[1] Pendidikan haruslah bermula dari awal. Penulis prolifik dan sarjana Muslim, Abdullah Nasih Ulwan melahirkan keprihatinan ini iaitu pendidikan mesti diberi kepada anak-anak mengikut petunjuk-petunjuk yang telah digariskan oleh agama. Pada pandangan beliau, kepentingan pendidikan kepada generasi akan datang itu bermula seawal seseorang berhasrat untuk memilih pasangan hidupnya. Ini dapat dilihat dengan penekanan beliau kepada soal perkahwinan dan pertaliannya dengan pendidikan seperti termaktub di dalam bukunya pada bab atau fasal yang paling utama.[2]

Meletak pendidikan sebagai perkara utama ini juga turut ditekankan oleh Mawdudi sehingga beliau menukilkan ‘tiada Islam tanpa ilmu pengetahuan.’ Pada pandangan beliau, Islam merangkumi dua perkara utama iaitu pertamanya ilmu dan keduanya ialah mengamalkan ilmu tersebut. Seseorang tidak akan dapat memahami keadaan sekelilingnya tanpa ilmu. Begitulah seterusnya beliau mengatakan betapa dapat dilihat dengan jelas mustahil untuk menjadi Muslim dan berterusan menjadi Muslim yang jahil. Dilahirkan sebagai Islam, mempunyai nama Islam, berpakaian cara Islam dan menggelarkan diri sebagai Muslim sebenarnya masih tidak cukup, kerana Muslim yang hakiki itu mereka mengetahui apa pendirian Islam dan mereka turut berpegang teguh kepada ajaran agama walau apa cabaran atau tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan umatnya. Kejahilan itu perlu diubat dengan ilmu dan cara mendapat ilmu tersebut adalah melalui pendidikan. “Knowledge, the first step”, nukil Mawdudi.[3]

Lihatlah betapa Islam mementingkan perkara ini dengan pengajaran daripada wahyu pertama yang diturunkan melalui kalimah suci Iqra’, membawa maksud supaya membaca, iaitulah penekanan terhadap kepentingan pendidikan demi untuk mendapat ilmu itu sendiri. Masyarakat yang berilmu inilah akan menjadi generasi tegar yang akan mempertahankan umat dari serangan-serangan pemikiran dan mereka akan sentiasa bersedia menghadapi aspek-aspek penjajahan pemikiran moden.

*Entry ini adalah petikan dari artikel tulisan saya bertajuk Penjajahan Pemikiran Moden, untuk dibentangkan di ILIM, Bangi, pada 31 Mac 2009.

[1] Yusuf al-Qaradawi (2005). Priorities of the Islamic Movement in the Coming Phase, UK: Awakening Publications.

[2] Abdullah Nasih Ulwan (2008). Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Vol. 1, Cet. ke-15, (terj.) Syed Ahmad Semait, Singapore: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

[3] Sayyid Abul A’la Mawdudi (1991). Let Us Be Muslims, (ed.) Khurram Murad, Kuala Lumpur: A S Noordeen.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home