Google
 

Monday, April 28, 2008

Biar Politik Bercakaran, Kerja Akademik-Sosial Harus Ditingkat

Hari ni 28 April 2008 bermulalah sidang parlimen bagi penggal baru selepas PRU-12 yang lalu. Cerita-cerita jalanan banyak tersebar dengan pelbagai teori yang ada kalanya tidak diketahui sumber, tak lain adalah untuk menambah selera pendengar. Orang yang mendengar akan terkasima mendengar cerita-cerita yang disampaikan dengan penuh syok dan gaya tersendiri.

Entah di mana perginya kefahaman tentang 'fa tabayyanu' atau mendapatkan kepastian tentang sesuatu berita. Tak kiralah berita itu benar atau tidak, jika ia berita sensasi, ramailah tukang penyampainya dan tukang tambah untuk jadi lebih bes.

Patutkah kita membiarkan mereka terus bercakaran? hmmm... sepatutnya kita berperanan dalam mengawal keadaan ini. Tapi perkara yang berlaku lebih kepada perbalahan politik ... Jadi, ambillah langkah yang mudah, langkah yang tak popular...

Biarlah mereka bercakaran ...

Walaupun ia merugikan masa ...

Merugikan bangsa ...

Merugikan kerja ...

Kita susah nak buat apa-apa, sebabnya mereka berpolitik ...

Buat masa ni, saya rasa lebih elok orang-orang yang diluar dari kerangka mereka, seperti saya, untuk tumpukan kepada akademik yakni mendidik anak-anak dan masyarakat .. juga melakukan kerja-kerja sosial sebagai sebahagian dari 'social responsiblity' setiap individu .. juga mengimarahkan masjid dan lain-lain yang boleh dibuat demi kebaikan masa depan.

Tuesday, April 15, 2008

Apakah Kita Akan Menghadapi Catuan Makanan?

Semenjak minggu lepas, saya mengamati berita tentang kenaikan harga barangan di pasaran global. Harga barang meningkat. Ini merisaukan, kerana saya jangka kerajaan tidak akan mampu bertahan untuk terus memberi subsidi kepada rakyat.

Lebih membimbangkan ialah larangan India dan Myanmar untuk mengeksport beras mereka ke negara-negara lain. Ini bermakna, Malaysia sudah tidak boleh mendapatkan bekalan beras dari negara tersebut. Malaysia dikhabarkan bergantung kepada Vietnam untuk mendapatkan stok beras bagi kegunaan negara ini.

Begitu juga, import gandum mungkin akan terjejas disebabkan kemarau yang berlaku di Australia yang menjejaskan pengeluaran gandum di sana. Pastinya ini akan menjadi pemangkin kenaikan harga yang boleh menjejaskan keadaan di seluruh dunia.

Akhbar Utusan di Malaysia sehari dua ini melaporkan kejadian huru hara di Haiti, sebuah negara yang menghadapi krisis makanan.

Saya rasa bagi negara-negara di Afrika, mereka sudah lali dengan krisis makanan ini. Di Sudan, Darfur, Somalia dan lain-lain negara Afrika sering digambarkan sebagai mempunyai masalah dalam sumber makanan sehingga ia terpaksa di catu.

Kenaikan harga tidak dapat dikawal ini mempunyai banyak sebab. Selain yang disebutkan di atas, ia mungkin turut disebabkan oleh penghasilan produk 'bio' yang menggunakan bijiran seperti jagung dan barli, di mana ia diproses untuk menghasilkan minyak atau lain-lain.

Apa yang dirisaukan di Malaysia ialah tentang beras. Ia makanan asasi, malah ada yang tidak boleh hidup sempurna tanpa menjamah nasi setiap hari.

Moralnya: rakyat Malaysia kena biasakan diri makan benda-benda lain, bukan hanya nasi semata-mata. Cubalah makanan alternatif .. masalahnya banyak makanan berasaskan gandum, jadi apa akan berlaku sekiranya gandum juga tidak mencukupi nanti?

Saturday, April 05, 2008

Gelombang Rakyat Malaysia

Ramai yang memberi analisa terhadap keputusan PRU-12 yang lepas. BN kehilangan 5 negeri. Kelantan masih di bawah PAS walau begitu banyak usaha BN untuk menawan negeri itu. Penganalisis politik menjadi seperti goreng pisang panas, laku... dan mereka sering dijemput ke sana sini, tv, atau majlis-majlis untuk membicarakan PRU-12. Pihak kerajaan melalui Kem. Penerangan sudah mula memberi ruang kepada penulis-penulis blog untuk muncul di kaca tv. Mereka berpendapat kekalahan yang banyak itu berpunca dari maklumat yang diperolehi melalui maklumat di atas talian. Tiba-tiba internet telah merubah persepsi rakyat Malaysia.

Saya rasa itu hanyalah faktor yang membantu. Banyak faktor besar lain, seperti kelewatan kerajaan bertindak ke atas isu-isu rakyat, sehingga pembangkang telah dapat memanipulasi keadaan itu untuk meraih sokongan yang banyak. Lihatlah, isu-isu kaum India telah menyebabkan mereka berpaling dan memberi undi mereka kepada pembangkang. Masyarakat cina sudah tidak mahu mengundi MCA, lalu mengundi parti-parti lain. Masyarakat bukan Islam jika dahulunya tidak berani mengundi PAS, telah mula berani sekarang. Inilah yang saya lihat jentera kerajaan tidak berjaya menangkis perang saraf yang digerakkan oleh pembangkang. Tidak ada pre-emptive strike yang dilakukan, lantas isu-isu yang tidak selesai ini menjadi bahan kempen menaikkan amarah rakyat untuk mengundi pihak lain.

Apapun, ia bukanlah riwayat akhir buat BN, kerana masih dapat memerintah dan membentuk kerajaan dengan majoriti besar, 140 - 82. Rakyat Melayu masih kuat menyokong BN, UMNO. Kawasan peratusan Melayu tinggi masih dimenangi umno. Di bandar dan kawasan 50-50, sudah beralih kepada pembangkang. Tidak pasti apa strategi BN untuk menawan kembali hati rakyat. Saya rasa jika isu-isu rakyat tidak ditangani dengan baik, rakyat yang masih setia dengan BN akan mula beralih, apatah lagi jika mereka lihat kerajaan negeri yang ditadbir oleh PKR-DAP-PAS dapat memberi jaminan yang lebih baik. Tindakan dari pihak kerajaan tidak boleh hanya melalui RTM atau kementerian penerangan sahaja.

Jika bebanan tinggi diberi kepada Kem. Penerangan, dikhuatiri ia masih tidak mampu membendung isyarat rakyat. Pendekatan konservatif Tun Mahathir dahulu mungkin boleh membantu, seperti bersikap lebih tegas dalam hal-hal berkaitan perlaksanaan dasar, etc etc, serta bacaan-bacaan politik harus lebih tajam, dan tindakan bersifat politik juga mesti lebih kehadapan tanpa berkompromi ke atas hak-hak rakyat. Saya lihat itu salah satu kejayaan Tun Mahathir memimpin BN dalam 5 kali PRU yang diadakan, sehingga musuh memang gerun dan tak akan menang berhadapan strategi beliau ketika itu. Pun begitu, tidak pastilah apa akan berlaku kiranya beliau memimpin dalam PRU-12 yang lepas, mungkin natijahnya juga sama, wallahu a'alam.