Google
 

Saturday, March 07, 2009

Cabaran Baru Akademik

Setiap pekerjaan ada cabaran tersendiri. Orang yang tidak ada kerja juga ada cabaran yang mereka perlu tempuhi. Begitulah dengan bidang yang saya pilih ini - bidang akademik. Suatu masa dahulu saya fikir bidang ini tidak terlalu susah kerana melihat ramai para pensyarah sebelum ini kelihatan mempunyai masa yang terluang.

Setahun saya berada di universiti sebagai pensyarah, berlaku pertukaran Naib Canselor. Sebelum pertukaran berlaku, para pensyarah sudah merasai hangat keperluan untuk mencapai KPI, yang dirangka untuk mencapai status universiti setanding dengan universiti terkemuka dunia seperti Harvard, Oxford, Cambridge dll. Paling tidak universiti ini berada dalam kelompok setaraf dengan Universiti Singapura, iaitu ke 50 terbaik dunia.

Antara KPI yang perlu dicapai di bawah kepimpinan NC baru ialah penerbitan dalam jurnal ISI. Ini yang menjadi kegusaran ramai ahli akademik untuk mencapainya. Ia memerlukan pensyarah untuk menulis dan menghantar karya untuk diterbitkan dalam jurnal. Ia nampak simple, tetapi untuk melakukannya memerlukan masa dan tenaga dalam menghasilkan penulisan. Kebanyakan jurnal ISI pula memerlukan artikel Bahasa Inggeris.

Bagi sesetengah pensyarah, untuk menerbitkan artikel mereka dalam jurnal tempatan pun satu cabaran, apatah lagi kali ini untuk menerbitkannya di dalam bahasa asing. Tidak senang walau nampak simple.

Baiknya, universiti menyediakan satu unit khas untuk tujuan penerbitan dalam jurnal ISI ini. Artikel para pensyarah akan dinilai dan jika perlu ditambahbaik agar memenuhi kriteria ISI tersebut. Sekali lagi, ia nampak simple tapi tidak mudah. Pengalaman yang dihadapi, sudah hampir 4 minggu artikel dihantar tetapi masih belum mendapat jawab balas. Cabaran buat satu unit baru untuk membantu universiti. Biar apapun, mereka yang berada di unit ini pasti merasa tekanan kerana mereka seakan menjadi faktor kejayaan sesuatu artikel diterima oleh mana-mana jurnal ISI.

Tuntutan baru ini perlu dihadapi oleh para pensyarah senior mahupun yang baru nak mengenal dunia akademik seperti saya ini. Nampaknya bidang akademik zaman moden ini tidak punya banyak masa untuk dihabiskan tanpa tujuan...bersediakah saya menghadapi anjakan ini? persoalan ini yang sering bermain difikiran...jika ini jalan yang dipilih, tentulah ia perlu diharungi...yang penting ikhlas niat... bagi mengubat keresahan, ingatan ganjaran dari Allah swt untuk mereka yang tabah dan sabar menjadi peransang dan juga 'pil penenang' untuk diri sendiri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home