Google
 

Wednesday, December 30, 2009

Aktiviti Akhir Tahun - Kalendar Masihi

Melewati minggu-minggu terakhir tahun 2009 dan sebelum melangkah ke tahun baru 2010, banyak pula aktiviti yang berjalan.

Minggu terakhir untuk tahun ini bermula dengan aktiviti pada Isnin dan Selasa lepas yakni 28-29 Dis 09, di mana kami di jabatan menganjurkan Simposium. Teman-teman di jabatan bagitau "next time kita kena elak buat program akhir tahun begini." Ya, memang ada kesukaran terutama nak mencari penaja dan juga yang melibatkan tuntutan melalui pesanan kerajaan atau istilahnya 'LO'.

Apapun keperitan yang kami hadapi, ia kami anggap sebagai pengalaman yang cukup berharga dan membantu kami menjadi lebih dewasa dalam mengurus acara-acara sebegini. Kami bertuah kerana pihak IKIM bersetuju untuk memberi kerjasama dan menjadi rakan media melalui cabangnya IKIM.fm. Jadi sepanjang 3 minggu lepas, kami boleh dengar hebahan setiap hari dalam radio ikim.

Kami banyak dibantu oleh petugas-petugas yang berdidikasi. Daripada staf jabatan, Ust Ali, Ust Zaki, Ustaz Faisal, Ustazah Yati, Ustaz Lah, dibantu dengan PA Puan Soffi, seterusnya petugas di kalangan pemegang SLAB/SLAI dan pembantu-pembantu penyelidik, mereka banyak menghulur tangan. Kemeriahan bekerja dalam pasukan begini cukup indah untuk dirakam..ia pasti tersemat sampai bila-bila.

Pada pagi hari program, semuanya mengikut apa yang dirancang. Cuma ada satu masalah yang teman-teman dan saya harus hadapi, iaitu prosiding yang tidak dapat untuk dicetak. Ia bukan masalah editing; kerana pasukan editing telah melakukan yang terbaik pada amatan saya. Masalahnya pada printing yang tidak dapat untuk mencetaknya kerana mereka perlu merubah sedikit layout dan setting yang pada mereka akan memakan banyak masa dan melewatkan proses printing. Oleh itu, ia tertangguh seketika. Saya seboleh mungkin akan mengusahakan supaya prosiding ini dapat diterbitkan dalam bentuk yang bercetak seperti buku.

Pada pagi 28 Dis itu, ramailah yang bertanya tentang prosiding... jenuh pihak urusetia pendaftaran nak menjawab. Ada juga yang datang kepada saya dalam keadaan marah-marah. Bukan 1 orang, bukan 2 orang, tapi ramai. Ini pengalaman bagi saya.

Dalam mendengar rintihan mereka tentang prosiding, saya cuba menenangkan mereka. "Kita tak janji akan cetak, tapi insya Allah kita akan usahakan selepas simposium," ungkapan ini yang terkeluar dari mulut. Saya sendiri pernah pergi ke seminar-seminar, bayar mahal dan tiada prosiding. Ya, saya boleh rasai kekecewaan itu. Namun, dalam seminar-seminar di luar negara, banyak tempat yang tidak juga mengeluarkan prosiding walaupun kita terpaksa bayar beratus-ratus £ pound sterling. Tukaran duit £ dengan RM sekarang ialah sekitar RM5.6 untuk £1. Bayangkan kalau yurannya sahaja sudah £200, malah ada yang lebih.

Pada saya ada hikmahnya prosiding itu 'belum' dicetak kerana ada beberapa kertas yang dihantar ke simposium ini serupa dengan kertas yang dihantar ke seminar lain. Saya tak sempat nak semak, tetapi kelmarin ada 2-3 orang memberitahu perkara itu dan ada yang ingin supaya kertas mereka diubah dan sebagainya.

Secara keseluruhan, walaupun prosiding ini sedikit tidak melancarkan perasaan, tetapi dengan jumlah kehadiran peserta, kertas yang mencecah 70, serta dipenuhi pameran-pameran dari IKIM, Khazanah Fataniyah, Yayasan Warisan Johor, Akademi Pengajian Melayu, Perpustakaan Negara, DBP dan lain-lain, telah menceriakan suasana selama 2 hari tersebut.

Majlis perasmian berjalan pada jam 12 pada hari pertama. Pihak jabatan ingin melancarkan buku terbaru, tapi ia masih belum muncul ketika majlis perasmian bermula. Proses percetakan di Gombak mengambil masa untuk disiapkan. Dalam majlis perasmian itulah saya menerima sms "15 minit lagi sampai." Terus saya mengutus sms kepada 2-3 orang supaya stand by untuk pelancaran buku. Saya ada minta dibuat persembahan multimedia majlis perasmian dan pelancaran buku. Tetapi, sedikit masalah teknikal berlaku di mana multimedia itu tidak berjalan selancar yang diinginkan.. apapun, tahniah kepada perekanya... buku dapat jua dilancar dengan meminta Datuk Hj Nik Mustapha Nik Hasan KP IKIM selaku perasmi Simposium untuk menurunkan tandatangan pada buku tersebut.

Pameran senjata dan kitab-kitab karya Tuan Tabal turut mencuri perhatian para peserta yang ingin melihat khazanah warisan Melayu. Ada yang cukup teruja melihat masih ada tersimpan 2 naskhah al-Quran tulisan tangan Tuan Tabal, kitab Jala' al-Qulub tulisan tangan beliau dan beberapa kitab dan senjata warisan yang turut dipamer.

Dalam keletihan, kami seronok dan tetap bersyukur.

Saya cukup berterima kasih kepada ahli jabatan dan petugas yang bekerja keras sehingga simposium ini berjaya. Ia menjadi pendorong kepada kami semua untuk melangkah lebih maju pada tahun 2010 dan tahun-tahun seterusnya.

Sekian, sebuah coretan tidak rasmi.

Buku Pembangunan Modal Insan & Tamadun Dari Perspektif Islam


Buku ini baru sahaja diterbitkan oleh Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, APIUM, untuk tahun 2010. Ia merupakan himpunan makalah ilmiah yang telah disunting dan diedit oleh pensyarah di Jabatan ini iaitu Profesor Madya Dr Ahmad Zaki dan saya sendiri.

Buku ini memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang sangat penting untuk pembangunan sesebuah negara dan untuk mencetus suatu bentuk ketamadunan di abad ini. Dalam pembentangan RMK-9 oleh mantan PM, Tun Abdullah menyentuh tentang modal insan berulang kali. Ini menunjukkan betapa modal insan diberi penekanan kerana ia penting untuk kelansungan kemajuan negara.

Islam sejak dari awal telah memberi penekanan kepada pembangunan modal insan. Dalam al-Quran ada banyak ayat memberi penekanan tersebut. Wahyu pertama telah cukup jelas meminta manusia untuk membaca. Ini merupakan pra-syarat kepada pembangunan modal insan dan seterusnya pembangunan tamadun... Surah Luqman turut menjadi saksi bagaimana kisah pembinaan modal insan itu harus dilakukan dengan memahami dialog Luqman kepada anaknya.

Begitulah betapa pentingnya pembangunan modal insan yang dibangun dari perspektif Islam demi melakar kejayaan sebagai tanda sesebuah bangsa itu telah mencapai tahap ketamadunan yang tinggi. Bagi perbincangan lanjut, sila tatap dan silalah membedah buku ini.

Bagi yang ingin mendapatkannya, boleh berhubung terus dengan pihak Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di talian: 03-7967 6008; email: api_sejarah@um.edu.my.

Sekian, Selamat membaca.

Monday, December 28, 2009

Mengenali warisan Islam

KUALA LUMPUR – Kecelaruan dan kemelut kemanusiaan yang dicetuskan oleh Barat melalui sistem kapitalis memberi kesan yang besar kepada seluruh dunia sehingga manusia lupa kepada asas kehidupan dan mementingkan aspek ekonomi semata-mata.

Demikian jelas Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) semasa merasmikan Simposium Warisan dan Tamadun Islam yang berlangsung hari ini di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM).

dipetik dari web YADIM


maklumat tambahan di sini