Pendidikan Sebagai Asas Merekayasa Umat
Penjajahan pemikiran dalam bentuk moden tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk menghadapi cabaran tersebut. Umat Islam memerlukan agenda bertindak yang tersusun agar dapat menangkis cabaran dan tohmahan yang cuba dilontar ke atas agama ini. Kata-kata masyhur yang sering dilafazkan oleh masyarakat harus direnungi iaitu kebenaran yang tidak tersusun akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun. Oleh yang demikian, beberapa langkah boleh diambil untuk merekayasa umat Islam dalam menghadapi cabaran di zaman global, di mana berlaku juga apa yang dikenali sebagai perang maklumat disebabkan oleh perkembangan teknologi pada era ‘langit terbuka’ kini.
(Surah al-Baqarah: 120)
Meletak pendidikan sebagai perkara utama ini juga turut ditekankan oleh Mawdudi sehingga beliau menukilkan ‘tiada Islam tanpa ilmu pengetahuan.’ Pada pandangan beliau, Islam merangkumi dua perkara utama iaitu pertamanya ilmu dan keduanya ialah mengamalkan ilmu tersebut. Seseorang tidak akan dapat memahami keadaan sekelilingnya tanpa ilmu. Begitulah seterusnya beliau mengatakan betapa dapat dilihat dengan jelas mustahil untuk menjadi Muslim dan berterusan menjadi Muslim yang jahil. Dilahirkan sebagai Islam, mempunyai nama Islam, berpakaian cara Islam dan menggelarkan diri sebagai Muslim sebenarnya masih tidak cukup, kerana Muslim yang hakiki itu mereka mengetahui apa pendirian Islam dan mereka turut berpegang teguh kepada ajaran agama walau apa cabaran atau tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan umatnya. Kejahilan itu perlu diubat dengan ilmu dan cara mendapat ilmu tersebut adalah melalui pendidikan. “Knowledge, the first step”, nukil Mawdudi.[3]
Lihatlah betapa Islam mementingkan perkara ini dengan pengajaran daripada wahyu pertama yang diturunkan melalui kalimah suci Iqra’, membawa maksud supaya membaca, iaitulah penekanan terhadap kepentingan pendidikan demi untuk mendapat ilmu itu sendiri. Masyarakat yang berilmu inilah akan menjadi generasi tegar yang akan mempertahankan umat dari serangan-serangan pemikiran dan mereka akan sentiasa bersedia menghadapi aspek-aspek penjajahan pemikiran moden.
[1] Yusuf al-Qaradawi (2005). Priorities of the Islamic Movement in the Coming Phase,
[2] Abdullah Nasih Ulwan (2008). Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Vol. 1, Cet. ke-15, (terj.) Syed Ahmad Semait,
[3] Sayyid Abul A’la Mawdudi (1991). Let Us Be Muslims, (ed.) Khurram Murad,