Google
 

Monday, January 22, 2007

Psefologi - Ilmu Pilihanraya


Pilihanraya dilakukan di dalam sistem demokrasi untuk memilih pemimpin atau lebih biasa disebut sebagai wakil rakyat. Sistem pilihanraya mestilah telus, supaya pihak yang bertanding dapat dipilih dan diadili sebaiknya.

Di Malaysia, sistem pilihanraya masih banyak yang perlu diperbaiki. Kelemahannya perlu diatasi sebaik mungkin. Pengerusi SPR sememangnya mengakui perkara ini. Soalannya, adakah sistem itu betul-betul ingin dibaiki, dengan mengambil kira cadangan yang diberi oleh SPR itu? Sekilas pandang, tidaklah semudah yang dijangka.

Ada dua sistem yang boleh digunakan: i. sistem majoriti mudah (simple majority); ii. sistem perwakilan berkadar (propotional system). Sistem pertama, mudah, seperti yang diamalkan sekarang di Malaysia. Sistem kedua, mementingkan peratusan jumlah undi. Maksudnya, setiap undi akan dikira, dan jumlah akhir peratus akan menentukan parti 'popular' akan memerintah. Misalnya, jika parti C mendapat 25% jumlah keseluruhan undi, maka parti C akan mendapat 25% tempat dalam parlimen.

Sistem majoriti mudah, hanya mempunyai satu cara, iaitu undi siapa yang anda suka. Manakala sistem perwakilan berkadar, mempunyai 3 cara:
i. Sistem Senarai Parti (Party List System)
ii. Sistem Campuran Ahli (Mixed Member System)
iii. Undi Pemindahan Tunggal (Single Transferable Vote)

Maka, sistem mana yang sesuai, ia bergantung kepada kefahaman, keadaan geografi, sosio-politik, sosio-ekonomi dan 'inclination' parti yang memerintah. Adakah boleh kita benarkan SPR untuk memilih sistem yang sesuai, tanpa campurtangan pemerintah atau parti-parti politik?

Thursday, January 18, 2007

Pendidikan: Bukan Isu no 2

Pendidikan merupakan suatu perkara penting. Ia bakal mencorak masa depan agama, bangsa, negara dan dunia. Ia tidak boleh dipandang ringan. Mempertingkatkan tahap dan mutu pendidikan akan menjamin survival generasi akan datang.

Plan pendidikan yang diumumkan kerajaan kelmarin perlu untuk diteliti oleh semua. Rakyat harus sentiasa peka dengan plan pembangunan yang dirancang.

Saya melihat pendidikan mesti memenuhi tuntutan jiwa bersumberkan wahyu dan etika murni diselarikan dengan sumber ilmu berdasarkan kacamata barat iaitu 'reason and experience'.

Ia harus dirangka bagi mendidik gelodak jiwa anak-anak muda supaya mereka menjadi insan yang sempurna imannya, fahamannya, akhlaknya, mempunyai jatidiri, mampu berfikir kreatif dan kritis, dibekalkan dengan skill kepimpinan, visi hidup yang jelas dan seumpamanya.

Satu perkara yang juga penting, iaitu komitmen ibubapa dan guru dalam mendidik. Mereka harus menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Ibubapa tidak boleh lepas tangan 100% kepada guru di sekolah. Guru perlu bertindak sebagai pendidik bangsa, mempunyai komitmen mencorak masa depan kita.

Wednesday, January 17, 2007

Will Arab States Dare to Disagree with US ?

Ini satu persoalan yang selalu bermain di fikiran. Susah benar untuk mencari seorang pemimpin negara Arab yang berani bersuara mempersoal dasar luar US terhadap Timur Tengah.

Minggu ini Rice, Setiausaha Negara Amerika, mengunjungi Israel, Palestin, Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Kuwait, untuk mendapatkan sokongan plan keamanan Israel/Palestin tajaan mereka. Plan itu lebih dikenali sebagai Road Map.

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh negara-negara Arab.

Nampaknya, penyelesaian yang ingin dibawa ialah dengan mewujudkan negara Palestin, tanpa membubarkan negara Israel. Maknanya ia adalah 'two states solution'. Jelas, penubuhan itu ditaja barat. Menurut Rice: "The establishment of a Palestinian state should be pursued on its own merits, not because of anything else - not because of Iran, not because of Iraq, not because of anything." BBC

Dalam masa yang sama, Israel terus membina penempatan / perumahan untuk orang-orang Yahudi. Masyarakat Islam Palestin terus tertindas.

Tuesday, January 16, 2007

Dunia Aman Tanpa Zionis??


Zionis dan Jews adalah dua perkara yang berbeza. Zionis merujuk kepada gerakan politik di kalangan orang Yahudi (Jews) bertujuan untuk menubuhkan negara bagi orang-orang Yahudi.
Gerakan zionis inilah yang berusaha dan telah berjaya melobi masyarakat barat untuk membentuk negara Israel.
Negara Israel itu merupakan negara yang ditubuhkan di atas tanah Palestin yang dijajah, kepunyaan masyarakat Arab Palestin, yang majoritinya adalah Muslim, dan sebahagiannya tanah milik Arab Palestin Kristian.

Inilah yang selalu ditentang oleh masyarakat Islam. Tetapi, negara-negara Arab sekitar Palestin seolah tidak berani bersuara dan tidak berani mempertahankan tanah Arab Palestin. Negara seperti Jordan, Mesir, Saudi Arabia dan Iraq, tidak dapat berbuat apa. Mereka kelihatan 'terpaksa' bersetuju dengan perencanaan yang dibuat oleh Zionis.

Tidak dapt dinafikan, Zionis mendapat sokongan antarabangsa. Mereka sudah melobi lama. Mereka menggunakan pembunuhan ke atas orang-orang Yahudi di Eropah (Ukraine, Poland, Austria, dll) pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20 dan peristiwa 'holocoust' di German sebagai 'senjata' untuk mendapatkan simpati barat bagi menyokong mereka menubuhkan negara.

Amerika dan Britain merupakan dua kuasa utama dunia yang selalu merencana keadaan politik di Israel / Palestin. Penubuhan negara Israel turut mendapat restu dari kerajaan British melalui Deklarasi Balfour yang secara terang menyebut bahawa Kerajaan British menyokong penubuhan negara itu.
Apa yang menjadi persoalan ialah:

i. mengapa tanah Palestin yang dipilih untuk menubuhkan negara Israel, sedangkan tanah Palestin itu kepunyaan masyarakat Arab di sana? mengapa tidak dipilih sebuah tempat yang masih tidak diduduki oleh sesiapa? atau mengapa tidak diberi satu pulau kepada mereka? atau mengapa tidak negara-negara Eropah memberikan sedikit tanah kepada mereka sebagai pampasan kepada nyawa orang Yahudi yang telah mereka bunuh?

Itulah agaknya menyebabkan Iran begitu vokal dalam hal ini, sehingga mereka membuat seminar tentang The World Without Zionism, yang sudah tentu seminar itu tidak disukai oleh Israel dan barat. Tetapi, ada dikalangan ortodox Yahudi menyokong seminar itu, dan ada dikalangan Yahudi yang juga tidak bersetuju dengan Zionis.

Friday, January 12, 2007

Kembali Semula - 2007

Assalamualaikum.
Setelah sekian lama tidak menghantar apa-apa berita, kini saya cuba untuk menulis kembali. Insya Allah ia boleh menjadi kaedah menyampaikan khabar dan berita kepada keluarga dan teman-teman.

Sedikit masa lagi kita akan menyambut Awal Muharram - Maal Hijrah - iaitu pada 20 Jan 2007.
Bulan Muharram, bulan bubur asyura. Teringat seketika waktu dahulu, kami selalu membuat bubur asyura, ada kalanya sampai 2-3 kawah. Terasa syiar Islam meluas. Kebelakangan ini, saya tidak berkesempatan untuk menjadi pengacau bubur. Teringin juga jika ada masa.
Apapun, Muharam itu suatu bulan yang ditetapkan sebagai bulan untuk memulakan perkiraan tarikh Islam, iaitu takwim Hijrah. Bulan ini ialah bulan memperingati hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah bagi mentaati perintah Allah s.w.t.

Apabila kita imbas kembali peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. dan para sahabat dari Mekah ke Madinah, ia merupakan suatu implementasi daripada tuntutan mewujudkan masyarakat Islam yang bertamadun. Ia juga merupakan suatu ujian terhadap iman seseorang sama ada jujur atau tidak dalam mentaati perintah Allah s.w.t. dan Rasul.

Maka, bolehlah untuk kita mempersiapkan diri untuk bersama-sama mengambil semangat Hijrah yang telah berlaku. Bukan semangat bubur semata-mata. Hijrah dari keburukan kepada kebaikan, dari pecahbelah kepada ukhuwwah, di waktu itu kezaliman kan musnah !!