Google
 

Saturday, July 14, 2012

Malay Culture - Budaya Melayu

Budaya Melayu adalah sesuatu yang unik. Orang Melayu merupakan kumpulan terbesar penganut Islam dari sudut bangsa. Melayu sangat sinonim dengan Islam. Ia seperti barat yang sinonim dengan Kristian. Banyak budaya Melayu yang diamalkan oleh masyarakat Melayu menjadi perhatian dari dahulu sehingga kini. Ramai yang melihat orang Melayu ini mempunyai budaya kesopanan yang tinggi. Orang Melayu mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Orang Melayu pada zaman dahulu digambarkan sebagai bangsa yang sentiasa berjuang. Mereka menentang penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris. Dalam mereka berjuang, budaya tetap dipelihara. bersambung...

Labels: , ,

Thursday, January 19, 2012

Garis Wasatiyyah: Media Perlu Jauhi Fitnah

Wasatiyyah adalah satu gagasan yang sangat baik untuk ditonjolkan sebagai salah satu aspek kefahaman umat Islam bagi mengelak sikap ‘ghuluw’ atau ekstrem dalam kehidupan mereka. Pemahaman ‘ghuluw’ ini boleh membawa kepada terrorisme yang merbahaya. Sudah sampai masanya, seperti kata Perdana Menteri, untuk umat Islam mengatakan TIDAK kepada kegiatan-kegiatan yang berbentuk melampau.

Dalam hal ini, media memainkan peranan yang penting. Setiap hari media akan berkomunikasi dengan masyarakat, sama ada melalui medium elektronik atau bercetak. Pastinya apabila media menjadi medan penyebaran maklumat, ia mesti dilihat relevan dan tidak bersikap ‘ghuluw’ dalam laporan.

Media juga tidak boleh hanya mementingkan keuntungan, mencari dan melapor berita sensasi walaupun tidak dapat disahkan hanya kerana ingin meningkatkan jualan atau ingin menjatuhkan seseorang.

Pastinya kita tidak mahu media yang ada menjadi seperti News of the World, yang melanggar pelbagai etika, melaporkan perkara yang tidak dipastikan benar atau dalam bahasa lebih mudah untuk difahami adalah menyebarkan fitnah. Akhbar milik veteran konglomerat media, Rupert Murdoch ini akhirnya terpaksa ditutup atas reputasinya yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Penyebaran berita fitnah, membunuh karakter individu dan mengutamakan sensasi adalah sebahagian amalan bagi kebanyakkan media di Malaysia. Akhir-akhir ini kita dapati perkara tersebut terus berlaku. Seseorang yang bercakap lain, tetapi lain pula yang dilaporkan.

Media yang mirip kepada kerajaan, akan melihat segala sumbangan pembangkang adalah negatif dan tidak betul. Begitu juga sebaliknya, media pembangkang akan sedaya upaya menunjukkan aktiviti kerajaan juga tidak betul.

Etika media mesti dijaga dengan memastikan sesuatu laporan itu mestilah berasaskan fakta. Media perlu mengelak dari menjadi ejen fitnah.

Elakkan fitnah kerana ia lebih dahsyat daripada membunuh. Hukuman pemfitnah ini juga perlu dihukum dengan hukuman berat.

Dalam usaha kerajaan ingin menunjukkan kebaikan, melaksana agenda transformasi, melakukan sesuatu yang memberi impak besar, ianya seakan dicemari oleh media yang terus-menerus menjadi agen pembunuh karakter.

Kita perlu ingatkan media… Jangan salahkan orang yang belum didapati bersalah oleh mahkamah. Jangan salahkan mereka yang didapati tidak bersalah oleh mahkamah. Jangan biarkan tuduhan tidak berasas tanpa bukti dilemparkan kepada sesiapa termasuk pemimpin negara. Jangan melaporkan sesuatu yang tidak dicakap dengan laporan menuduh dia bercakap.

Penyebaran berita tidak tepat dan fitnah sangat kontradik dengan usaha kerajaan yang ingin melihat masyarakat Malaysia berfikir terbuka selaras dengan pemikiran masyarakat negara maju, kerana kita sedang bergerak ke arah negara maju pada tahun 2020.

Membaca, mendengar dan menonton berita-berita fitnah sebenarnya menyebabkan rakyat tiada pilihan selain dari terus skeptikal (ragu) dengan usaha baik serta agenda transformasi yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.

Media juga nampaknya perlu melakukan transformasi dalam era kehendak kepada liberalisasi ini agar turut memberi berita yang seimbang kepada masyarakat.

Umumnya, cara media arus perdana kita melaporkan berita-berita sebegini akhirnya nanti akan menyebabkan rakyat mencemuh kerajaan, seterusnya merugikan dari aspek survival politik. Ia pasti akan memberi kesan negatif kerana akan dilihat sebagai pengampu daripada pemberi maklumat nyata yang sebenar.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka merasakan agensi-agensi media terus menerus melakukan fitnah. Cara penyebaran berita sebegini akhirnya akan menjejaskan imej baik kerajaan.
Inilah yang menyebabkan ramai yang menoleh kepada media-media alternatif. Walaupun media-media alternatif ini juga tidak terlepas daripada penyebaran fitnah, tetapi atas kegagalan media arus perdana memainkan peranan melaporkan berita berimbang, mereka seakan tiada pilihan.

Rakyat yang sekarang berfikiran terbuka tidak lagi suka dimomokkan dengan sesuatu yang diluar dari batasan dan bercanggah dengan rasional pemikiran seorang insan yang diberikan akal yang waras.
Mereka suka melihat amalan yang dibuat di negara-negara maju, sama ada di timur mahupun di barat.

Mereka tidak lagi mahu melihat contoh dari negara-negara yang ditadbir secara diktator. Tambahan pula negara diktator semakin hari semakin tidak mendapat tempat seperti yang berlaku di negara-negara Arab.

Hatta di Indonesia yang menjadi jiran kita, kebebasan media itu lebih daripada Malaysia. Sedangkan apalah sangat Indonesia jika hendak dibandingkan dengan kemajuan yang kita capai di Malaysia ini.

Oleh itu, mana-mana media yang masih memainkan lagu lama, tidak lagi dianggap relevan pada zaman kini. Malah ia akan terus dilihat sebagai agen pengampu serta tidak mampu menjadi agensi media yang bertaraf antarabangsa. Malah ia tidak mampu memberi imej yang baik kepada kerajaan dan negara.

Akhirnya, kerajaan perlu melakukan sesuatu yang berani untuk mewujudkan persepsi yang baik terhadap media arus perdana. Jika tidak cukup dengan tranformasi, maka revolusi keseluruhan sistem media boleh dipertimbangkan.

Amat baik sekiranya ia dapat dijadikan sebagai agenda transformasi negara (GTP) sebagai salah satu daripada NKRA agar imej yang lebih sihat dapat ditonjolkan. Jika transformasi media ini dapat dilakukan, pasti ia akan memberikan impak yang sangat besar kepada rakyat dan negara.

Labels: , , , ,

Sunday, January 15, 2012

Moderate atau Wasatiyyah: Jangan Sampai ‘Less Strict’

Selepas berlakunya beberapa siri peristiwa dunia yang mengaitkannya dengan umat Islam seperti peristiwa 11 September, masyarakat global bercakap mengenai keperluan kepada mewujudkan kesederhanaan dalam beragama.

Kesederhanaan ini selalu diwar-warkan menggunakan bahasa asing seperti moderate atau wasatiyyah. Dari segi penggunaan, ia biasanya merujuk kepada kefahaman yang sama iaitu untuk mewujudkan suasana bersederhana.

Ia tidak bermaksud supaya menjadi ‘biasa-biasa’ sahaja dalam kehidupan ataupun menghalang seseorang untuk menjadi kaya dan meneruskan kekayaan mereka. Ianya lebih kepada pembentukan sikap bertolak ansur, menerima kepelbagaian, hormat menghormati, tidak membezakan ras, warna kulit dan tidak menjadikan penganut beragama sebagai sesuatu yang tidak memberikan apa-apa manfaat.

Di peringkat United Nation, satu inisiatif telah diambil untuk mewujudkan keharmonian antara penganut beragama. Bermula pada tahun 2011, minggu pertama bulan Februari telah dijadikan sebagai minggu sambutan World Interfaith Harmony Week. Ia adalah acara tahunan.

Sesetengah orang merasa takut dengan mereka yang kuat berpegang kepada agama. Lee Kuan Yew, seorang negarawan Singapura, pernah menyatakan perkara ini di dalam buku beliau supaya masyarakat di Alam Melayu ini mengurangkan pegangan agama atau dalam tulisannya beliau menyebutkan sebagai ‘less strict on Islamic observances.’

Apakah salah untuk seseorang itu kuat berpegang dalam agamanya? Islam sangat menekankan perkara ini. Aqidah tidak boleh dicemari apatah lagi untuk digadai. Aqidah Islam tidak boleh ditukar. Apabila seseorang telah menjadi Muslim, maka tiada lagi pilihan untuk mereka keluar dari agama ini. Keluar agama atau murtad bagi seseorang Muslim bakal menerima hukuman berat.

Adakah aqidah Islam ini yang dianggap sebagai pengacau kepada kehidupan beragama dan mahu ianya dikendurkan? Jika itu yang dimaksudkan, maka adalah menjadi satu kewajipan kepada umat Islam untuk menentangnya.

Oleh sebab itu, dalam keghairahan masyarakat Islam menyeru kepada moderate atau wasatiyyah, ia jangan sampai mengurangkan atau bertolak ansur dalam perkara prinsip.

Saya bersetuju jika moderate / wasatiyyah ini menerima kaedah hormat menghormati, menerima kepelbagaian, bertolak ansur, toleransi dan seumpamanya. Tetapi ia tidak menggadaikan prinsip Islam itu sendiri.

Memang diakui ada dikalangan umat Islam dan juga penganut agama lain yang bertindak melampau. Kumpulan inilah yang wajar diperbetulkan kefahaman mereka. Seringkali berlaku apa sesuatu keganasan berlaku maka Islam yang akan dikaitkan dengannya. Sebaliknya, jika ia berlaku kepada masyarakat Kristian atau agama lain, tidak pula ia dikaitkan dengan agama-agama mereka.

Konflik yang berlaku di Utara Ireland di antara penganut Kristian, tidak dianggap sebagai keganasan Kristian walaupun banyak peristiwa ganas yang dilakukan oleh mereka. Kejadian menembak mati remaja yang sedang berkhemah di Norway oleh penganut Kristian, tidak pula dianggap keganasan Kristian. Inilah sesuatu yang dikira double-standard yang sedang berlaku kepada penganut beragama.

Justeru, dalam memahami moderate atau wasatiyyah, prinsip agama perlu terus dipegang, diperjuang dan tidak digadai. Sebab itu kita lihat dalam sejarah Islam, jaminan keselamatan diberi kepada golongan bukan Islam yang ingin tinggal di bawah pemerintah Islam. Pegangan agama itu tidak mengganggu dalam mewujudkan masyarakat penyayang dan Negara yang sejahtera.

Labels: , , , ,

Sunday, January 01, 2012

Penapisan Filem Perlu Tindakan Menyeluruh

Baru-baru ini kita dikhabarkan bahawa agensi kerajaan yang bertanggungjawab menapis filem, LPF, tidak akan lagi menapis filem-filem yang akan ditayang di Malaysia. Ia dibuat untuk menggalakkan pertumbuhan filem dalam era liberalisasi ekonomi yang sedang berlaku.

Industri perfileman memang suatu cabang industri yang boleh membawa keuntungan yang tinggi. Jika tidak, pastilah Hollywood yang terkenal dengan pusat pembikinan filem box-office dunia itu tidak akan memberi tumpuan kepada perfileman lagi. Satu-satu filem yang dikeluarkan dengan sentuhan hebat Hollywood ini boleh membawa keuntungan puluhan juta malah ada yang mencecah ratusan juta seperti Harry Potter, Toy Story dan sebagainya.

Bahkan di Negara kita juga filem yang dihasilkan boleh memberi keuntungan kepada penerbit. Filem seperti Ombak Rindu dan lain-lain telah berjaya mengumpul kutipan melebihi tujuh angka hanya dalam tempoh seminggu ia ditayangkan.

Ini menunjukkan bahawa industri perfileman sedang bergerak ke arah masa depan yang cerah dengan mengambil kira plot cerita yang dibawa.

Bagi menggalakkan pertumbuhan perfileman ini, maka sekatan tapisan tidak lagi mahu dibuat oleh agensi kerajaan. Mereka sudah membuat garis panduan untuk dipatuhi dan tanggungjawab menapis diletakkan dibahu penerbit dan pengimport.

Wajarkah perkara ini diserahkan bulat-bulat kepada penerbit dan pengimport? Apakah pihak kerajaan ditekan oleh penerbit antarabangsa Hollywood dalam hal ini? Adakah filem-filem antarabangsa akan memboikot Malaysia sekiranya kerajaan melakukan tapisan?

Banyak lagi persoalan lain yang jika disenaraikan boleh berjela panjangnya… namun cukup kita memberi fokus kepada kewajaran memberikan tanggungjawab penapisan kepada penerbit dan juga pengimport filem.

Dalam situasi filem yagn diterbitkan oleh penerbit tempatan, sudah banyak filem yang dilihat walaupun sudah melalui proses penapisan, tetapi masih terlepas adegan dan babak-babak yang tidak sesuai untuk ditonton oleh masyarakat timur. Kita masyarakat timur penuh dengan adat dan budaya yang begitu ketara bezanya dengan pendekatan barat.

Barat menganjurkan liberalisasi, semuanya ingin bebas. Tetapi tidak semua yang bebas itu baik untuk masyarakat timur. Bukanlah maksudnya masyarakat timur ini tertutup mindanya, tetapi dalam hal ini biarlah liberalisasi itu mempunyai batasan yang jelas.
Barat membawa idea bahawa semua individu mempunyai hak masing-masing dan hak itu mesti diberi walau apapun yang ingin dilakukan oleh individu tersebut. Tetapi mereka juga akur bahawa kebebasan itu ada batasnya. Jika kebebasan diberi sepenuhnya, maka pihak berkuasa mereka tiada hak untuk menahan orang yang melanggar lampu isyarat merah umpamanya.

Masyarakat timur ini terutama masyarakat yang beragama, tidak kira apa agamanya, pasti mempunyai adat budaya yang tidak selesa dengan liberalisasi penuh yang cuba diperjuang barat ini.

Kembali dalam kontek perfileman tempatan, telah banyak kes adegan yang terlepas. Ini adalah kerja penerbit untuk membuat adegan tertentu dengan tujuan melariskan filem mereka. Jika tiada adegan ‘panas’, filem itu akan dianggap hambar. Jika tiada adegan kepercayaan karut-marut seperti ‘hantu bonceng’, filem itu tidak akan mendapat sambutan. Ini mentaliti yang ada, jika kita berada di dalam kasut mereka pun pasti fikiran tentang bisnes akan diutamakan daripada garis panduan yang ada.

Kemudian, siapa yang bertanggungjawab untuk menafsirkan garis panduan tersebut? Bagaimana sekiranya setiap penerbit mempunyai penafsiran berbeza?

Mereka yang akan menjadi mangsa adalah masyarakat awam. Rakyat akan terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai ditonton, bahkan rakyat pula tiada kuasa untuk mengambil tindakan.

Kuasa yang ada pada rakyat dan penonton hanyalah boleh untuk mengalih ‘channel’ atau untuk ‘switch off’ television atau tidak menonton filem-filem tersebut. Ini tidak cukup kerana ia akan menjadikan penyebaran filem yang mempunyai ‘agenda’ tertentu akan berleluasa.

Lebih parah ia akan mencorak pemikiran dikalangan masyarakat terutama golongan kanak-kanak, remaja dan belia. Jika mereka diterapkan dengan perkara-perkara yang tidak sesuai, maka kesannya adalah kepada pembangunan negara pada masa hadapan.


Alasan untuk memberi kebebasan kreatif berkarya untuk penerbit filem juga sebenarnya tidak boleh dijadikan sandaran. Jika benar ingin memberi kebebasan kretiviti, kenapa pula ada garis panduan? Hilangkan sahaja garis panduan tersebut sekiranya ingin memberikan kebebasan. Tetapi nampaknya masih ada dalam fikiran agensi ini bahawa mereka tidak boleh memberikan kebebasan penuh.

Oleh itu, adalah wajar bagi agensi yang bertanggungjawab untuk menapis filem sebelum ia dibenar di tayangkan di Malaysia. Jika agensi tersebut tidak mampu, jemputlah badan-badan lain, NGO, badan sukarela dan pakar-pakar untuk membantu.

Kerjasama ini pasti akan membawa kepada kesejahteraan Negara dalam melahirkan modal insan kental jiwanya dan tidak terpengaruh dengan budaya sonsang yang dibawa oleh penerbitan filem yang tidak bermoral.

Sekian.

Labels: , ,