Google
 

Saturday, July 18, 2009

Mencari makna hidup

Hidup itu sesuatu yang indah. Bangun pagi, boleh melihat dunia, boleh melakukan aktiviti sampai malam..sampai kembali tidur. masa tidur juga indah, mimpi macam-macam.. ada yang menggunakan mimpi untuk percaya kepada sesuatu yang dia dapat dalam mimpi. dapat ilmu, jumpa guru, para wali dan macam-macam lagilah cerita yang pernah didengar.

Kehidupan perlu untuk difahami. Falsafah kehidupan jika diteliti dari sumber-sumber Islam, ia tidak hanya untuk dunia tetapi ia menjadi sesuatu yang harus di manipulasi untuk kegunaan akhirat. Kejayaan di dunia dalam ertikata kejayaan berpegang dengan syariat pasti akan memberi kejayaan di akhirat. Jika kejayaan harta semata-mata, akhirat belum tentu selamat. Kalau berjaya dari sudut harta, kena pastikan harta itu dikeluarkan haknya untuk fakir miskin dan asnaf. Dengan cara itu kita dapat pastikan harta itu boleh menjadi cagaran kepada kita untuk akhirat, bukan menjadi liabiliti disebabkan oleh banyaknya syubhah yang ada disekeliling harta itu ataupun disebabkan oleh sumbernya yang tidak jelas.

Allah menyatakan dalam Quran mengenai kehidupan:

"Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan. Perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga dengan harta dan anak bagaikan hujan yang menghasilkan tanaman yang mengagumkan petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya menjadi kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu" (Al-Hadid:20)

Ayat di atas memberi petunjuk kepada mereka yang mahu mengambilnya sebagai panduan. Ia adalah ayat al-Quran, Quran yang menjadi pegangan setiap individu Muslim.

Ada dikalangan kita yang tidak menafikan ayat-ayat al-Quran ini tetapi tidak mahu mengikutnya. Jika alasan yang diberi itu kerana kejahilan mereka, saya kira beban untuk memahamkan mereka terletak pada para da'ie.. tak kiralah da'ei itu orang agama atau orang bukan agama tetapi mereka faham agama. Pointnya, kena bercakap dan menyampaikan.

Bagaimana untuk kita memaknakan kehidupan ini?

Bagi orang agama, atau ada latarbelakang agama atau yang berminat dengan agama yang selalu dengar kuliah di masjid, surau atau paling kurang dalam radio Ikim.fm akan mudah untuk menjawab. Hidup berpandukan syariat, akan membuatkan hidup sentiasa bahagia..mungkin inilah yang akan menjadi jawapan golongan sebegini.

bagaimana pula dengan mereka yang hidup tanpa peduli urusan agama seperti mereka yang suka berhibur, duduk di kelab-kelab malam, pelanggan kelab, hidup dikelilingi model wanita mengikut selera? Owhhh dunia itu syurga bagi mereka yang mengikut hati dan perasaan .. mereka boleh hidup bebas mengikut kehendak nafsu walaupun nama mereka Ahmad, Kasim, Aisyah, Maisarah dll. Nama mereka indah, cukup sifat Islam pada nama tersebut, tetapi jangan terkejut jika kita dapati mereka juga terkial-kial mengikut rentak lagu di kelab-kelab malam.

Sesetengah mungkin terfikir mengapakan kita tidak boleh hidup bebas? tidak boleh melakukan apa saja mengikut kehendak sendiri? mengapa kita mesti mengikut syariat?

sekali lagi, soalan ini mudah untuk dijawab dan dimengerti oleh orang yang beragama. Orang yang tidak beragama, atau dalam kata lain terlalu sosial atau liberal, persoalan ini sukar juga untuk dicerna. Ada ketika, menjawabnya perlu kepada kaedah logika. Tidak semudah membacakan dalil, nas mahupun menghuraikan maqasid syariah.

Menurut saya (meminjam ungkapan yang sering diungkap oleh teman Indonesia), mencari makna hidup perlu kepada usaha serius. Sebaiknya usaha secara berjama'ei. Usaha individu pada banyak keadaan sukar untuk diperkasa, walau tidak dinafikan ada yang berjaya. Ia juga berkait dengan hidayah, tetapi hidayah tidak boleh dijadikan alasan untuk bertemu Tuhan dengan menganggap 'belum sampai hidayah' untuk melakukan sesuatu yang baik dalam kehidupan ini.

Quran mengingatkan: Dan bekerjalah, nescaya Allah akan melihat amalan kamu.... (al-Taubah: 105).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home