Google
 

Monday, February 02, 2009

Fatah vs Hamas

Di Palestin sendiri, walaupun mereka hidup dalam keadaan daif, diserang Israel, menjadi pelarian, hilang tempat tinggal dsb, tetapi mereka tetap mempunyai 2 puak yang sering tidak sekata, Hamas dan Fatah.

Hamas adalah kumpulan baru yang wujud pada tahun 1987, tetapi berjaya memenangi pilihan raya Palestin pada 2006. Ramai yang menyokong Hamas kerana mereka melihat Fatah tidak dapat memperjuangkan hak sebenar mereka. Pemimpin-pemimpin Fatah pula lebih mementingkan keselesaan diri daripada rakyat. Rata-rata pemimpin Fatah memiliki harta yang banyak dan membina rumah yang besar tatkala masyarakat Palestin menagih ihsan dunia membantu mereka. Almarhum Yasser Arafat, bekas pemimpin PLO dari puak Fatah, meninggalkan berpuluh juta dalam akaun beliau yang sekarang menjadi milik keluarga. Rakyat Palestin kecewa dan mereka khuatir duit tinggalan itu merupakan duit-duit sumbangan dunia - Amerika dan Barat - untuk membangun Palestin, tetapi pembangunan Palestin masih ditakuk zaman 40an Malaya.

Oleh sebab itu mereka beralih sokongan kepada Hamas. Kemenangan Hamas pada 2006 menjadi bukti sokongan itu. Tetapi Hamas pula dinafikan hak. Walaupun menang dalam pilihanraya secara demokrasi, mereka tidak dapat membentuk kabinet dengan mudah. Pelbagai halangan yang mereka terpaksa lalui. Pilihanraya itu tajaan Amerika yang ingin mendemokrasikan negara-negara seluruh dunia. Pada awalnya, kerajaan Bush menjangkakan Fatah akan menang, sebab itulah mereka membenarkan pilihanraya itu dibuat. Namun, keputusan pilihanraya mengecewakan Amerika di atas kemenangan Hamas tersebut. Lalu Amerika mempengaruhi dunia supaya tidak memberi bantuan kepada Palestin melalui Hamas. Tetapi mereka mahu salurkan bantuan kepada PLO (juga dikenali sebagai PA), sekarang di bawah pimpinan Abu Mazen.

Alasan utama bantuan tidak disalurkan melalui Hamas ialah kerana tuduhan Amerika bahawa Hamas adalah pertubuhan pengganas. Fatah hanya satu-satu pertubuhan yang tidak dianggap pengganas. Oleh sebab itu, Amerika khuatir dengan tuduhan mereka sendiri, khuatir Hamas akan melakukan keganasan menggunakan wang sumbangan mereka.

Fatah yang menguasai PLO mengiktiraf kewujudan Israel melalui surat peribadi Yasser Arafat kepada Yithzak Rabin. Apabila mereka mengiktiraf Israel, dunia terutama Amerika dan barat akan menganggap mereka bukan lagi kumpulan pengganas. Mengiktiraf Israel bermakna mereka mengiktiraf kewujudan negara tersebut yang didirikan di atas tanah yang dirampas dari ahli keluarga mereka sendiri. Ramai rakyat Palestin yang dihalau keluar dari tanah mereka secara paksa, terpaksa menjadi pelarian 'terhormat' di negara-negara jiran seperti Lubnan, Syria, Jordan dan Mesir. Mereka lari kerana dihalau Israel, dan tanah mereka itulah yang dirampas oleh Israel untuk membangunkan penempatan kepada orang-orang Yahudi. Ketika rakyat Palestin dihalau keluar, Israel menjemput semua orang-orang Yahudi di seluruh dunia untuk berpindah atau 'pulang' ke Israel dan duduk di penempatan-penempatan baru yang dibina Israel itu, malangnya pembinaan penempatan itu atas bantuan Amerika dan barat.

Hamas tidak pernah mengiktiraf kewujudan Israel. Ini menyebabkan mereka dianggap pengganas kerana mereka mahu mempertahankan bumi Palestin dari dikuasai Israel. Hamas mahu supaya pelarian-pelarian Palestin semenjak tahun 1947 - 1948 diberikan hak untuk pulang ke tanahair asal mereka, iaitu Palestin. Hamas mahu supaya hak-hak rakyat tertindas dikembalikan. Hak-hak rakyat yang dihalau keluar itu perlu dibela dan diperjuangkan. Pada Hamas, dunia mesti membenarkan supaya pelarian Palestin mendapatkan tanah mereka yang dirampas. Mereka berjuang untuk mendapatkan hak asasi rakyat tertindas dan untuk mendapat keadilan dunia terhadap pelarian Palestin.

Sekarang, walaupun mereka sentiasa diserang Israel secara ganas semenjak 27 Dec 08, mereka nampaknya terus mempunyai perbezaan pandangan. Hamas tidak mahu mengiktiraf Israel. Fatah lebih nasionalis, tidak meletakkan Israel sebagai umpan mereka. Ya, kerana mereka yakni Fatah sendiri rapat dengan pemimpin-pemimpin bengis Israel itu.

Kita memang mahu melihat supaya Hamas dan Fatah dapat bersatu untuk membentuk kekuatan baru di rantau Asia Barat untuk menentang Israel. Tetapi Hamas tetap berhati-hati kerana Fatah semacam mempunyai agenda Israel dan Amerika.

Oleh sebab itu, Hamas merasakan bahawa PLO yang dikuasai Fatah tidak lagi layak untuk mewakili rakyat Palestin. Tindakan Hamas ini mendapat reaksi tegas dan membangkitkan amarah Presiden Palestin Abu Mazen dan menyelar tindakan Hamas tersebut. Hamas meminta supaya rakyat Palestin dan dunia tidak berurusan dengan PLO dan meminta supaya pemimpin baru dipilih bagi mewakili rakyat Palestin. Ini disuarakan oleh Khalid Mesh'al, melalui jurucakap dan pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya.

Pandangan Hamas ini mendapat sokongan rakyat Palestin yang tidak menaruh sebarang harapan terhadap PLO dan Fatah. Seperti dijangka, pemimpin-pemimpin Israel terus tidak mahu berurusan dengan Hamas dan sesekali tidak akan menjalinkan hubungan dengan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini. Tzipi Livni dengan tegas menyatakan bahawa mereka yakni Israel tidak akan menjalankan urusan perdamaian dengan Hamas dan meminta pihak-pihak yang terlibat dan dunia supaya tidak bersimpati dengan Hamas.

Ini menunjukkan bahawa Israel tidak akan berkompromi dan akan terus mempertahankan dasar mereka iaitu menyerang sesiapa sahaja yang tidak mahu mengiktiraf mereka.

Ini juga memberi kesan kepada pemimpin PLO untuk tidak bertemu dan berunding dengan Hamas. Mereka mahu supaya Hamas mengiktiraf PLO bagi mewujudkan rundingan kerjasama Fatah dan Hamas. Sepatutnya urusan itu dilakukan di Mesir, tetapi oleh kerana pendirian terbaru Hamas yang membangkitkan kemarahan Abu Mazen ini, pertemuan dijangka ditunda dan selagimana Hamas tidak mengiktiraf PLO maka Abu Mazen tidak mahu diadakan pertemuan.

Israel sebenarnya gusar jika ada kesatuan di antara Hamas dan Fatah kerana ini akan menyebabkan Israel dalam bahaya kekuatan baru yang akan muncul menentang mereka. Israel lebih selesa kiranya Fatah terus mengusai PLO dan mengadakan rundingan dengan Israel, bukan berurusan dengan Hamas.

Jika itulah pendirian Israel yang menyokong supaya tidak ada kerjasama antara Fatah dan Hamas, maka wajar bagi Hamas untuk tidak bersetuju dengan genjatan senjata. Biarkan mereka menyerang, pasti seluruh dunia akan sedar bahawa Israel memang pengganas sebenar, bukan rakyat Palestin yang tidak berdosa itu.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

baru tahu serba sedikit berkaitan hamas dan fatah

6 June 2010 at 23:00  

Post a Comment

<< Home