Baldatun Tayyibah: Model Andalusia
Ya, itulah tajuknya satu seminar yang dianjurkan oleh PUM Selangor dengan kerjasama Masjid Negeri Shah Alam pada 24 Jan 09 yang lepas.
Kebetulan penganjur meminta saya untuk menulis satu kertas kerja dan tajuk yang diberi ialah: Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Kerajaan Islam di Andalusia : Teladan dan Sempadan.
Pada awalnya saya tidak tahu bagaimana nak dikaitkan Baldatun Tayyibah itu dengan Andalusia kerana umum mengetahui Andalusia sudah jatuh ke tangan Kristian pada 1429M dan sekarang kekal di bawah pemerintahan kerajaan Sepanyol.
Tetapi kemusykilan itu menjadi pemangkin untuk saya menulis kertas seperti yang diminta.
Sejarah Andalusia penuh dengan onak dan duri, bermula kemasukan Islam di sana pada 711M. Ia pernah menjadi kebanggaan Islam di zaman kemuncaknya. Sejarah menyaksikan ia menjadi wilayah Islam pertama yang 'syahid' di tangan bukan Islam.
Sejarah Andalusia juga turut diwarnai dengan penceritaan sejarah yang kelihatan ditokok tambah oleh sejarawan Muslim sendiri. Sebagai contoh, sejarawan Muslim sebelah Timur seperti Ibn al-Athir menceritakan pidato Tariq ibn Ziyad yang mengerah supaya kapal armada lautnya di bakar bagi memastikan semangat jihad melawan musuh tidak dikaburi dengan ketakutan atau timbulnya perasaan untuk pulang ke Afrika Utara. Sejarah pidato ini nampaknya tidak dirakam oleh sejarawan sebelah Afrika Utara mahupun sejarawan Andalusia sendiri. Lalu pidato Tariq itu menjadi bahan yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya.
Di zaman kemuncak Andalusia, telah melahirkan ramai tokoh Islam yang mengarang kitab-kitab dan akhirnya kitab tersebut menjadi rujukan umat Islam kini. Tokoh-tokoh seperti Ibn Rush, Ibn Hazm al-Andalusi, Ibn Hazm al-Qurtubi, Fudayl ibn Iyad al-Arabi, Imam al-Shatibi, al-Qurtubi dan lain-lain telah menberi sumbangan mereka dalam bidang-bidang ilmu turath.
Al-Zahrawi dan Ibn Zuhr menjadi pelopor di dalam bidang perubatan di samping penguasaan mereka dalam bidang-bidang ilmu Islam yang lain.
Dari sudut pembangunan fizikal, mereka berjaya mendirikan istana kemegahan al-Hambra, masjid ulung Cordoba, pusat pentadbiran Madinah al-Zahra dan lain-lain. Masjid dibina dengan banyak semenjak kedatangan Abdul Rahman al-Dakhil yang telah mencetuskan revolusi pembangunan di Andalusia.
Semua kejayaan ini dicapai pada 8 abad pemerintahan Islam tersebut. Betapa 8 abad itu telah diguna untuk membangun ruhi dan jasadi atau fizikal dan spiritual masyarakat sehingga kesan peninggalan Andalusia itu kekal menjadi kebanggaan hari ini.
Bagi negara kita, Islam sudah bertapak semenjak kira-kira 6 abad yang lalu, bermula kedatangan Parameswara ke Melaka yang akhirnya menjadi Raja dan memeluk Islam. Ada juga teori lain tentang kedatangan Islam tersebut.
Apa yang saya nak kongsi ialah jika ditinjau 6 abad di Andalusia, kemajuannya tidak dapat ditandingi oleh kita.
Namun, kemegahan mereka tidak bertahan lama. Pihak musuh berusaha untuk men'talqin'kan mereka dan akhirnya disebabkan kelemahan pemimpin yang bekerjasama dengan musuh, Abu Abdullah yang terhutang budi dengan musuh itu, terpaksa merelakan penyerahan wilayah terakhir yang dikuasai Islam iaitu Granada kepada Raja Ferdinand dan Isabella.
Andalusia itu sesuatu yang boleh dibanggakan pencapaiannya, tetapi mestilah diambil iktibar kejatuhannya. Saya yakin tidak mungkin untuk kita mempertahankan kemajuan yang dibina tanpa melihat kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah Islam sehingga jatuhnya Andalusia. Kini Andalusia tersemat dalam lipatan sejarah, seolah tidak mampu lagi untuk dikembalikan kepada Islam, melainkan sesuatu yang diluar jangkaan berlaku.
Akhirnya, terima kasih kepada penganjur kerana memberi ruang kepada saya.
Labels: Andalusia, Baldatun Tayyibah, kemajuan
0 Comments:
Post a Comment
<< Home