Google
 

Friday, October 23, 2009

Bajet 1 Malaysia

Seperti ramai yang lain, saya turut mengikuti pembentangan bajet pada petang tadi dengan tekun. Sebelum ini saya suka ambil tak peduli tentang bajet, sebabnya banyak benda yang kurang faham tentang bajet ni. Tetapi tahun ini saya cuba berazam untuk mendengarnya kerana sudah ada beberapa panduan yang ditunjukkan rakan-rakan.

Saya lihat rata-rata mempunyai pandangan positif terhadap bajet, namun ramai juga yang tidak dapat merasai kenikmatan bajet yang dibentangkan. Saya fikir ini ada kaitan dengan harga minyak yang bakal berubah pada tahun 2010 nanti. Dan setengah dari penjawat awam tidak dapat menghargai nilai 500 untuk duit poket mereka. Saya takda komen tentang 500 untuk penjawat awam.

Bagi mahasiswa, saya kira mereka boleh bergembira kerana akan dapat Laptop bersama Internet percuma dengan harga yang cukup berbaloi. Mereka hanya perlu bayar 50 sebulan untuk tempoh 24 bulan, jadi jumlah yang mereka perlu bayar ialah RM1200 sahaja. Tetapi taktau la apa kualiti laptop tersebut, apa jenama dia .. apakah mereka akan dapat jenama Leno (kalau dalam loghat neori, ni maksudnya lena - terlena). Mahasiswa cemerlang kelas pertama di bawah PTPTN akan diberi status biasiswa.

Bagi IPTA, saya tak nampak apa-apa kelebihan yang disebut secara lansung, melainkan kuasa autonomi yang akan diberi kepada IPTA terutama untuk menjana dana sendiri seperti penubuhan syarikat, konsortium dsb. Saya tak dengar tentang bajet terhadap penyelidikan yang ingin dilakukan, atau peruntukan untuk membina prasarana sebagai universiti bertaraf dan setanding dengan universiti terbaik dunia.

Begitu juga soal pembangunan institusi Islam... saya kira perlu ada pemerkasaan badan-badan Islam setempat, samada ia badan kerajaan, badan berkanun atau badan bukan kerajaan (NGO). Jika ini dapat diperkasa, konsep 1 Malaysia yang menjadi moto negara sekarang akan lebih berjaya digarap dan disemarak dengan kerjasama badan-badan ini.

Kebetulan ada yang sms tadi bertanya saya tentang 1 Malaysia ini apakah kedudukan dari segi hukum, harus atau apa? Saya berpendapat ia dalam ruang lingkup harus kerana ia tidak bertentangan dengan nas. Malah, pada hemat saya, ia turut mencerminkan idea-idea yang dibawa oleh pemimpin Islam bermula dari zaman Rasulullah SAW. Ini dapat dilihat apabila piagam Madinah dibentuk, masyarakat yang pelbagai latar, agama dan budaya pada waktu tersebut dikategorikan sebagai 'ummah'... maknanya mereka itu 'satu' ... dalam ertikata mereka harus mempunyai jiwa mempertahankan tanahair secara bersama, bekerjasama dalam hal-hal yang dibolehkan, dsb.

Demikian, badan agama tidak boleh diketepikan dalam soal memacu 1 Malaysia tersebut.

Ada banyak perkara yang saya rasa ada tansformasi dilakukan untuk rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, pertanian dan kesihatan. Bagi kesihatan, walaupun bajetnya tidaklah sebesar pendidikan dan pertanian, tetapi rancangan mewujudkan pusat rawatan kesihatan untuk rakyat itu sebagai sesuatu yang tepat. Sepatutnya sudah lama dibuat. Kesihatan itu sektor yang penting kerana ia melibatkan seluruh lapisan masyarakat yang sakit. Kalau yang kaya, atau yang ada insurans, mereka pada kebiasaannya akan memilih untuk ke hospital swasta. Sebabnya, di hospital swasta tu boleh jumpa terus dengan doktor pakar. Ubatnya pun mungkin lebih baik. Jadi bagi mereka apa salahnya bayar lebih atas servis yang efisen, baik dan meyakinkan. Tetapi rakyat biasa, kadangkala mereka runsing bila mereka atau ahli keluarga demam. Nak pergi klinik satu hal, ubat pulak satu hal lagi....mahal bagi golongan berpendapatan rendah. Ada ketika, mereka sanggup tak pergi klinik kerana takda duit... mungkin sebab tu la industri bomoh agak maju kerana bayaran jumpa bomoh ikut ikhlas, tak seperti jumpa doktor kena bayar jumlah yg besar. Itupun kalau bomoh kampung...bomoh bandar mungkin ada rate tersendiri.

raiittt... itu je dulu.

Tuesday, October 20, 2009

Simposium Warisan & Tamadun Islam 2009

Kami di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam sedang sibuk menganjurkan Simposium di atas. Ia akan diadakan pada 28 - 29 Disember 2009. Sesiapa yang berminat untuk sertai sebagai peserta atau pembentang, sila berhubung dengan pihak urusetia ditalian 03-79676008.

Tarikh-tarikh penting:

30 Nov 09 - Abstrak
10 Dis 09 - Kertas penuh
15 Dis 09 - Pendaftaran

sekian terima kasih.

Monday, October 19, 2009

Menerima Tetamu Prof Leonard Swidler

Isnin, 19 Okt - saya merasa sungguh indah hari Isnin permulaan minggu, minggu ke-3 bulan 10, 2009. Walaupun saya tidak dapat menghadiri satu program sebelah pagi yang saya sudah memberi persetujuan untuk hadir, tetapi kesedihan saya itu hilang apabila Profesor Leonard Swidler dari Temple University, US bersedia untuk melawat kami di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam.

Sepatutnya sebelah pagi Isnin, saya sudah menyusun untuk hadir sesi seminar Prof ini bersama seorang pelajar PhD Jabatan. Tetapi disebabkan masalah anak saya yang kena pergi hospital, saya terpaksa tarik diri saat akhir. Dalam pada itu saya meminta pelajar PhD Jabatan saya itu untuk menjemput beliau, dan ringkas cerita dia setuju.

Kami terpaksa menyusun program ini dalam tempoh 3 jam.. sedikit kelam kabut nak tempah makanan, nak sediakan dokumen mengenai kurikulum yang ditawarkan diperingkat jabatan dll.

Jam 4pm, beliau bersama ahli rombongan, Prof C Lopez dan seorang lagi tak ingat nama, tiba di Jabatan dan dibawa masuk ke bilik mesyuarat.

Saya memulakan majlis memperkenalkan Jabatan, ahli jabatan dan para pembantu penyelidik. Seterusnya beliau memperkenalkan diri dan rombongan. Selepas itu, beliau terus bercakap mengenai Dialog Civilization.. Saya faham dari percakapannya bahawa beliau seorang Katholik yang berdisiplin. orang 'agama' memang mudah untuk diapproach.. yang susah sedikit ialah orang yang sekular atau lebih parah dalam masyarakat hari ini ialah mereka yang terlalu liberal pemikiran agamanya.

Kami turut memberitahu kesediaan pihak Jabatan untuk menerima mereka atau mana-mana ahli akademik yang berminat untuk menjadi Sarjana Pelawat di Jabatan. Selain itu, kami menawarkan kepada para profesor ini untuk menjadi penasihat kepada Jurnal terbitan Jabatan. Begitu juga, kami membuka peluang jika mereka ingin menyumbang artikel di dalam Bahasa Inggeris, dan turut meminta mereka memanjangkan jemputan menulis untuk jurnal kepada ahli akademik di US atau tempat-tempat lain. Tidak lupa, kami turut meminta supaya mereka dapat memberi maklumbalas tentang kurikulum yang akan kami tawarkan bermula Sem I sesi 2010/11.

Sayangnya, masa yang diberikan kepada kami hanya 1 jam.. saya diminta untuk memastikan mereka sampai semula ke Pusat Dialog di UM jam 5pm untuk mereka hadiri mesyuarat seterusnya di situ. Riak wajah mereka nampak sungguh gembira kerana dapat melawat kami; kami pun turut gembira juga.

Mungkin setengah orang akan persoal kenapa beria sangat bawa sarjana bukan Islam ke Akademi yang berteraskan Islam... hmm persoalan sebegini saya perasan hanya di Malaysia sahaja orang suka tanya atau persoal kepada kita. Persoalan ini kita bincang kemudian lah.. lebih baik kita mengambil manfaat dengan kedatangan sarjana ini melalui diskusi dsb.

Akhirnya saya ucapkan terima kasih jua kepada Prof Azizan, Pengarah Pusat Dialog UM kerana memberi laluan untuk sarjana ini melawat ke Jabatan kami.

Thursday, October 01, 2009

Seminar di UKM ISoIT 6-7 Okt 2009

Minggu depan akan ke seminar di UKM untuk membentang paper... http://pkukmweb.ukm.my/~isoit/approved-8.html

Saya berhasarat untuk bertemu rakan-rakan akademik di sana.